PENTING Urus Jangkaan Terhadap Hakim Danish Pada Fasa 'Rookie' - ZK

Kenyataan itu disuarakan Zulfahmi susulan prestasi Hakim Danish yang beraksi bersama pasukan AEON Credit MT Helmets MSi berkenaan pada Perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) Austria di Litar Red Bull Ring, minggu lalu

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/22/20261 min read

PENGURUS ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin mengingatkan betapa pentingnya mengurus jangkaan terhadap pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli, yang kini masih menelusuri fasa pembelajaran sebagai pelumba 'rookie' musim ini.

Kenyataan itu disuarakan Zulfahmi susulan prestasi pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSi berkenaan pada Grand Prix (GP) Austria di Litar Red Bull Ring, minggu lalu.

Pada perlumbaan itu, pelumba muda berbakat negara itu tampak bergelut apabila bermula dari petak ke-15 sebelum berjaya menamatkan saingan di kedudukan ke-9, sekali gus membawa pulang tambahan 7 mata berharga.

Mengulas mengenai aksi di Spielberg itu, Zulfahmi yang juga bekas pelumba negara mengakui ia adalah hujung minggu yang menguji ketahanan dan mental pelumba berkenaan.

"Ini sememangnya minggu yang amat mencabar buat Danish. Pada perlumbaan, ada satu pusingan yang menyaksikannya sedikit melakukan kesilapan kerana dia (terlalu) ingin mendapatkan posisi yang lebih baik," katanya.

Kata Zulfahmi, kejayaan Hakim Danish meraih kemenangan dan menaiki pentas podium sebelum ini secara tidak langsung melonjakkan sasaran peribadi pelumba itu, walaupun pihak pasukan sebenarnya tidak meletakkan sebarang tekanan yang tinggi.

"Justeru, apa yang paling penting ketika ini adalah mengurus jangkaan terhadap dirinya sepanjang melalui fasa sebagai pelumba baharu," tegas bekas pelumba kebangsaan itu.

Zulfahmi turut menjelaskan penanda aras saingan pada musim ini adalah sangat tinggi, dengan mengambil contoh pelumba seperti Brian Uriarte yang dilihat konsisten menaiki podium dalam hampir setiap pusingan perlumbaan.

Keadaan itu menuntut Hakim Danish untuk terus memperbaiki kelemahannya dan Zulfahmi percaya masih banyak perkara yang perlu diperhalusi, khususnya membabitkan aspek teknik tunggangan.

Bagi mengharungi baki kempen musim 2026, Zulfahmi menaruh harapan agar anak didiknya itu dapat mempamerkan kematangan dalam pelan perlumbaannya di atas litar.