PENYERTAAN Wildcard Hakim Danish Di GP Malaysia 2025, SIC Belum Ada Jawapan Konkrit
Ketua Pegawai Eksekutif SIC PETRONAS, Azhan Shafriman Hanif begitupun komited untuk menjayakan hasrat peminat sukan permotoran negara itu dan optimis ia akan terlaksana
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/13/20251 min read


KURANG tiga bulan sebelum Grand Prix (GP) Malaysia 2025 berlangsung, persoalan mengenai penampilan pelumba berusia muda negara, Hakim Danish secara wildcard dalam kelas Moto3 di laman sendiri masih menjadi teka-teki.
Ketika ditemui pada majlis Pelancaran GP Malaysia 2025 di ibu negara, semalam, pihak Litar Antarabangsa Sepang (SIC) PETRONAS menjelaskan mereka masih menunggu kata putus mengenai perkara berkenaan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SIC PETRONAS, Azhan Shafriman Hanif, pihaknya sedang menyiapkan semua kertas kerja yang diperlukan, namun keputusan muktamad hanya akan diketahui pada selewat-lewatnya pada bulan depan.
Malah, Shafriman turut mengalu-alukan penyertaan mana-mana pihak yang berminat untuk menjalin kerjasama bagi merealisasikan penampilan Hakim Danish pada perlumbaan yang dijadual berlangsung pada Oktober ini.
Ketika ditemui, Shafriman turut tidak dapat mendedahkan angka kos yang diperlukan atau yang masih belum mencukupi dan mengakui ia positif.
"Keputusan memang di tangan SIC, namun kita perlu membentangkannya dahulu kepada ahli lembaga pengarah untuk kelulusan. Insya-Allah, kita akan membuat pengumuman pada September selepas mendapat keputusan daripada pihak Lembaga Pengarah dan juga Kementerian Belia dan Sukan (KBS)," katanya.
Shafriman dalam pada itu berkata pihaknya komited untuk menjayakan hasrat peminat sukan permotoran negara dan memberi jaminan mana-mana jenama yang tampil membantu akan mendapat pulangan setimpal.
"Sudah tentu kita alu-alukan semua penaja yang mahu masuk untuk membantu Hakim Danish berlumba pada wildcard tahun ini. Insya-Allah, kami akan sediakan ruangan untuk meletakkan penjenamaan di atas jentera, sut perlumbaan dan juga di dalam pit," katanya.
Mengulas prestasi Hakim Danish setakat ini di dua kejuaraan di Eropah, Shafriman mengakui berpuas hati terutama dalam kempen Red Bull MotoGP Rookies Cup.
"Setakat ini (perkembangan) positif, insya-Allah kita akan jayakan. Sudah tentu ramai yang mahu melihat Hakim Danish berlumba di laman sendiri.
"Prestasinya sangat baik. Beliau kini mendahului saingan dalam Red Bull Rookies Cup dan berada di kedudukan ketujuh dalam Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP, satu peningkatan berbanding tempat ke-15 tahun lalu," katanya.
Sebagai rekod, tempoh yang diberikan oleh pihak pengelola MotoGP, Dorna Sports kepada tuan rumah bagi mendapatkan slot wildcard adalah 45 hari sebelum perlumbaan berlangsung.
