Peraturan Baru Buat Pengusaha Bengkel di Malaysia, Senarai Nama Mekanik, Sijil Kelayakan Kini Perlu Ditayangkan!
TULAR
7/17/20231 min read
BEBERAPA peraturan baharu - yang dikatakan akan memberi manfaat kepada golongan pengguna - menyaksikan pengusaha bengkel kini perlu mempamerkan senarai nama mekanik dan kelayakan sijil kemahiran di premis masing-masing, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Perkembangan itu diumumkan Menteri KPDN sendiri, Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kementerian itu, memetik laporan Bernama.
Menurut Salahuddin, peraturan itu adalah antara beberapa penambahbaikan yang terkandung dalam Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) (Pindaan) 2022 yang telah berkuat kuasa di seluruh negara pada 1 Julai lalu.
Dan menariknya, senarai nama dan sijil kelulusan itu perlu dipamerkan di kawasan yang mudah dilihat oleh pengguna bagi membolehkan pengguna mempunyai maklumat dalam memilih bengkel yang mempunyai mekanik berkelayakan.
Salahuddin berkata langkah menguatkuasa peraturan mempamer senarai nama mekanik dan sijil kemahiran itu akan menggalakkan pengusaha bengkel mempersijilkan mekanik yang bekerja di bengkel mereka atau menggajikan mekanik yang mempunyai sijil kemahiran.
Selain nama dan sijil kemahiran, antara peraturan lain yang perlu dinyatakan pengusaha bengkel dengan jelas adalah membabitkan kategori alat ganti yang digunakan sama ada baharu, terpakai atau yang telah dibaik pulih untuk diguna semula.
Peraturan itu bagi memastikan pengguna mengetahui jenis kategori alat ganti yang digunakan untuk pembaikan atau pengubahsuaian kenderaan mereka.
Menurut KPDN, peraturan itu telah diwartakan pada 22 Jun 2022 selepas beberapa siri libat urus dengan pihak industri dan sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Julai tahun sama.
Tetapi penguatkuasaannya ditangguhkan selama setahun bagi membolehkan pihak industri membuat persiapan sebelum penguatkuasaan ke atas peraturan itu dibuat sepenuhnya bermula pada 1 Julai tahun ini.
Sebagai makluman, tempoh penangguhan bagi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) (Pindaan) 2022 telah tamat pada 30 Jun 2023 dan peraturan baharu ini telah berkuat kuasa sepenuhnya oleh Bahagian Penguatkuasa KPDN di seluruh negara pada 1 Julai 2023.
Justeru jika berlaku pelanggaran atas ketidakpatuhan kepada peraturan ini, pengusaha bengkel boleh dikenakan tindakan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599).