PERBEZAAN KTM, Ducati 'Dah Dekat' - Pedro Acosta
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/23/20251 min read


PELUMBA bintang KTM, Pedro Acosta percaya jurang di antara pasukan pengeluar Austria itu dengan pendahulu kejuaraan MotoGP ketika ini, Ducati sudah mengecil khususnya pada permulaan musim ini.
Menurut pelumba kelahiran Sepanyol, jurang itu dirasai makin mengecil khususnya ketika perlumbaan namun pada masa sama mengakui yang masih banyak penambahbaikkan diperlukan terhadap KTM RC16.
"Bagi saya, pada awal musim, jurang lebih besar, kini ia semakin rapat," kata Acosta menjelang perlumbaan Grand Prix (GP) British, minggu ini.
"Masih banyak perkara yang perlu diusahakan kerana Ducati amat kuar ketika ini sejurus mereka melepaskan brek.
"Tetapi adalah benar yang selepas beberapa pusingan dan tayar sudah mula digunakan, kami mampu untuk merapatkan diri, tetapi pada awal perlumbaan kami kehilangan banyak masa dan dalam kes saya ia lebih teruk ketika kelayakan."
Sekalipun mengakui jurang makin hampir, Acosta begitupun realistik terhadap sasarannya pada perlumbaan selepas ini.
"Pertama sekali, kami semua perlu mula menjadi konsisten di kedudukan lima terbaik dan kemudian mengimpikan podium," katanya.
"Ia bukan permulaan yang mudah pada tahun ini bagi kami atau mana-mana pelumba KTM tetapi kami mula mendapatkan rentaknya semula. Kami perlu cuba untuk menjadi rapat."
Sebagai pelumba yang memenangi dua gelaran dunia dalam tiga tahun pertamanya di kejuaraan itu, rekod Acosta di Silverstone boleh dikatakan kurang mengagumkan apabila hanya meraih satu podium dalam empat kunjungan.
Malah, juara dunia Moto3 dan Moto2 itu mengakui Silverstone bukan mudah untuk dijinakkan kerana sukar untuk mendapat cengkaman di litar berkenaan.
