PERHATIAN Buat Pemilik Skuter QJMotor AX200S!

QJMotor Malaysia menjelaskan komponen gantian baharu yang ditawarkan itu sudah pun dipertingkatkan dan direka khusus bagi memastikan ketahanan serta prestasi yang lebih baik untuk jangka masa panjang

TERKINI

8/17/20261 min read

PENGEDAR eksklusif jenama motosikal QJMotor di Malaysia, terus menggiatkan usaha menyeru pemilik model skuter popular QJMotor AX200S yang terjejas dengan isu 'muffler'supaya segera menyertai program panggil semula bagi menggantikan komponen berkenaan.

Program keselamatan pelanggan yang sudah digerakkan secara rasmi sejak 17 Mac lalu itu dilaksanakan susulan penemuan kemungkinan berlakunya keretakan pada unit pemasangan komponen berkenaan pada beberapa unit keluaran model terbabit.

Menurut kenyataan rasmi QJMotor Malaysia, komponen gantian baharu yang ditawarkan itu sudah pun dipertingkatkan dan direka khusus bagi memastikan ketahanan serta prestasi jentera yang lebih baik untuk jangka masa panjang.

Sehubungan itu, pihak syarikat menasihatkan kesemua pemilik QJMotor AX200S yang masih belum berbuat demikian supaya segera mendaftarkan maklumat mereka bagi melancarkan urusan penyelenggaraan.

"Pendaftaran boleh dilakukan secara mudah menerusi portal rasmi di pautan https://productrecall.mforceservice.my/ bagi semakan unit yang terlibat.

"Selain pendaftaran secara dalam talian, pelanggan juga boleh terus menghubungi atau mengunjungi mana-mana pusat pengedar sah QJMOTOR Malaysia, khususnya di lokasi pembelian asal dibuat bagi menetapkan jadual penggantian komponen berkenaan," kata kenyataan itu.

QJMotor Malaysia turut menegaskan keseluruhan proses penggantian komponen terbabit dilaksanakan secara percuma, merangkumi kos penukaran alat ganti dan juga upah kerja.

Syarikat itu turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kerjasama, kepercayaan dan sokongan berterusan daripada para pelanggan serta rangkaian pengedarnya di seluruh negara.

"Syarikat akan kekal komited dalam penawaran motosikal berkualiti tinggi berserta perkhidmatan selepas jualan yang boleh dipercayai demi kepuasan pelanggan."