PERINGATAN Dovi kepada Marc Marquez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/31/20231 min read

JUARA dunia MotoGP tiga kali, Jorge Lorenzo pernah dijangka menjadi pencabar kejuaraan dunia ketika menyertai Ducati tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Itu peringatan yang diberikan oleh bekas pelumba Ducati, Andrea Dovizioso mengulas ketibaan juara dunia lapan kali, Marc Marquez menyertai pengeluar Itali itu.

Marquez tiba di pasukan satelit Ducati, Gresini pada musim 2024 dengan ramai pengkritik menjangkakan pelumba kelahiran Sepanyol itu akan kembali mencabar kejuaraan.

Sebelum ini, Lorenzo yang juga rakan senegara Marquez pernah menukar jentera daripada pengeluar Jepun ke Itali pada 2017 dengan perpindahan membabitkan wang yang besar namun ia tidak berjaya mencapai apa yang diharapkan.

Sepanjang dua musim bersama Ducati, Lorenzo hanya menamatkan saingan di tangga ke-7 pada musim pertamanya dan ke-9 pada musim kedua sebelum memilih untuk angkat kaki.

Dovizioso yang juga rakan sepasukan Lorenzo ketika itu dinafikan kejuaraan dunia oleh Marquez untuk tiga musim berturut-turut untuk menamatkan saingan sebagai naib juara.

Justeru, antara nasihat bekas pelumba pasukan Malaysia di MotoGP Petronas Yamaha SRT itu adalah penyandang juara, Francesco Bagnaia perlu mengelak daripada tertekan dengan kehadiran Marquez ke Ducati.

"Bagnaia tidak perlu memberi tumpuan kepada Marquez," kata Dovizioso kepada GPOne. "Dia hanya perlu memikirkan mengenai dirinya.

"Kerana jika kamu mahu meniru juara-juara hebat ini, apa yang berlaku adalah mereka akan memusnahkan kamu. Dalam beberapa kes, ia seperti apa yang berlaku kepada Lorenzo.

"Jorge tiba di Ducati dengan pemikiran dia akan memenangi segala-galanya, tetapi pada akhirnya, ia tidak seperti itu. Kita akan lihat. Dan saya amat ingin tahu," katanya.