PERINGATAN Marc Marquez Kepada Honda, Tak Boleh Raih Gelaran MotoGP Tanpa 'Top Speed'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/23/20231 min read

SEBELUM meninggalkan Repsol Honda, ada kata-kata hikmat disuarakan juara dunia MotoGP enam kali, Marc Marquez kepada bekas majikannya itu.

Menurut pelumba yang menyertai Ducati menerusi pasukan satelit, Gresini Racing itu, Honda perlu meningkatkan prestasi enjin jentera RC213V jika berhasrat menjulang gelaran MotoGP sekali lagi.

Pada musim 2023, Honda sekadar meraih dua gelaran podium yang salah satunya disumbangkan oleh Alex Rins dengan kemenangan di Cota dan Marquez di Motegi.

Sebelum ini, kuasa enjin sentiasa menjadi kekuatan Honda namun Marquez dalam kenyataan terbaharunya menegaskan kuasa yang dihamburkan jenteranya berkurangan susulan pakej aerodinamik lebih besar.

"Amat sukar untuk bersaing dengan pelumba-pelumba lain tanpa 'Top Speed'," kata Marquez.

"Kami menggunakan (komponen) aerodinamik yang amat kecil (ketika ujian pra-musim). Kini kami memiliki aerodinamik yang lebih besar dan kurang 'top speed'.

"Jadi sudah tentu jika anda mahu menggunakan aerodinamik yang besar, kamu memerlukan lebih kuasa kuda.

"Sebagai pelumba, saya cuba untuk melakukan yang terbaik di atas litar dan cuba untum memberikan komen terbaik kepada Honda. Saya cuba untuk menasihati mereka apa arah tuju untjm masa depan sekalipun saya meninggalkan mereka dalam seminggu.

"Saya cuba untuk memberikan komen yang tepat dan hari ini saya berkata kepada mereka yang tanpa 'top speed' kamu tidak boleh bersaing untuk kejuaraan.

"Ini kerana setiap kali kami melalui laluan lurus, saya kehilangan satu posisi. Jadi perkara seperti ini terlalu sukar.

"Mereka mempunyai kerja yang amat banyak tetapi mereka mengetahuinya, dan saya percaya mereka boleh melakukannya pada masa depan ."

Musim depan, Repsol Honda akan dipacu dua pelumba, Mir dan Luca Marini yang menggantikan Marquez.