PERLU Ambil Risiko - Marc Marquez

Jangkaan hujan di Sachsenring pada Sabtu bakal memberi lebih cabaran kepada pelumba termasuk Marc Marquez ketika sesi Kelayakan dan Perlumbaan Sprint

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/12/20251 min read

MARC Marquez menjelaskan kemalangan yang hampir berlaku kepadanya pada hari pertama Grand Prix (GP) Jerman 2025 di Sachsenring, semalam berpunca daripada kesilapan sendiri.

Digelar sebagai 'pakar' di Sachsenring yang sudah ditakluknya sebanyak lapan kali dalam kelas MotoGP, pelumba Ducati Lenovo itu mencatat masa terpantas pada sesi Latihan Bebas 1 sebelum melakukan catatan ke-3 terpantas pada Latihan Bebas 2.

Catatan terpantasnya dipintas pelumba VR46, Fabio di Giannantonio dan adiknya, Alex Marquez (Gresini Ducati) yang masing-masing menggunakan tayar jenis 'soft'.

Marc sebelum itu hampir berdepan kemalangan selepas tayar belakangnya tergelincir dengan teruk ketika menggunakan tayar jenis 'medium' dan menurutnya, ia adalah satu kesilapan.

"Saya mencuba tayar belakang medium, ia agak keras. Mungkin kernaa ia tidak berada pada tahap suhu yang sempurna," kata Marquez.

"Saya menekan terlalu banyak. Saya tahu saya akan meraih masa 1 minit 19 saat. Dengan tayar medium, ia adalah masa sepusingan yang amat laju. Kemudian saya menekan terlalu kuat. Ia adalah kesilapan saya."

Sekali pun perlumbaan utama Ahad dengan keadaan cuaca dijangka cerah, Marc berkata dia akan cuba untuk mengambil risiko pada Sabtu di mana sesi Kelayakan dan Perlumbaan Sprint pada Sabtu dijangka berlangsung dalam keadaan basah

"Sabtu nampak seperti akan menjadi hari yang memberi kesulitan, terutama dengan keadaan hujan," kata Marquez kepada TNT Sports. "Pertama sekali, kami perlu memahami bagaimana situasi kejuaraan.

"Kami perlu faham yang pada minggu depan kami akan mengharungi satu lagi perlumbaan (Brno). Jadi apa maknanya? Saya perlu mengambil risiko. Tetapi pada tahapnya.

"Kamu sentiasa boleh kemalangan dalam keadaan hujan, amat sukar untuk menguruskan hadnya. Tetapi saya akan cuba untuk mencari perasaan sempurna dengan jentera."