PERLUMBAAN 2 Yang 'Perit' Buat Adam, KIP Di Australia

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/25/20241 min read

KEBANGKITAN yang diharapkan daripada kedua-dua pelumba negara, Adam Norrodin (WorldSBK) dan Khairul Idham Pawi (WorldSSP) pada Perlumbaan 2 Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2024 Australia, hari ini tak menjadi kenyataan.

Dalam perlumbaan yang terpaksa ditangguhkan atas faktor 'teknikal' itu, kedua-dua pelumba yang beraksi bersama pasukan Petronas MIE Racing Honda itu terpaksa menamatkan aksi tanpa pungutan mata.

Adam yang beraksi dalam kelas perdana dan menunggang jentera Honda CBR1000RR-R melepasi pelumbaan yang terpaksa diulang semula itu susulan kemalangan yang berlaku kepada Jonathan Rea melepasi garisan penamat di kedudukan ke-19.

Rakan sepasukan Adam, Tarran Mackenzie dari Great Britain dalam pada itu mengakhiri perlumbaan di kedudukan ke-18 dengan perlumbaan dimenangi pelumba Kawasaki Racing Team, Alex Lowes.

Sementara itu, Khairul Idham yang lebih dikenali sebagai KIP sekali lagi bergelut dengan jenteranya Honda CBR600RR untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-23.

Rakan sepasukannya, Kaito Toba juga tak berjaya menamatkan perlumbaan dalam kelompok pungutan mata selepas melepasi garisan penamat di kedudukan ke-21.

Pelumba pasukan Barni Spark Racing yang menunggang jentera Ducati Panigale V2, Yari Montella muncul juara.

KIP pada Perlumbaan 1 WorldSSP, semalam mengutip satu mata kejuaraan selepas menamatkan aksi di kedudukan ke-15.

Pusingan kedua WSBK 2024 dijadual berlangsung di Litar Catalunya, Barcelona, Sepanyol pada 22 hingga 24 Mac depan.