PERLUMBAAN Di Mugello Tuntut 'Keberanian Luar Biasa' - Jorge Martin
Jorge Martin yang juga juara dunia MotoGP 2024 itu menegaskan dia tidak mahu hilang momentum dan terus ketinggalan berbanding rakan sepasukan, Marco Bezzecchi, dalam perebutan gelaran keseluruhan gelaran dunia musim ini
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/28/20261 min read


PELUMBA Sepanyol yang beraksi bersama pasukan Itali, Aprilia, Jorge Martin bersemangat menghadapi Grand Prix Itali di Mugello hujung minggu ini walaupun mengakui masih belum pulih sepenuhnya selepas beberapa kemalangan di Barcelona.
Selepas berdepan kesukaran di Catalunya, juara dunia MotoGP 2024 itu menegaskan dia tidak mahu hilang momentum dan terus ketinggalan berbanding rakan sepasukan, Marco Bezzecchi, dalam perebutan gelaran keseluruhan.
“Saya semakin pulih, walaupun jelas tidak 100 peratus. Tetapi sudah jadi kebiasaan untuk berlumba dalam keadaan begitu. Harap beberapa hari ini saya dapat lebih selesa di atas jentera,” katanya ketika ditemui pada satu acara membabitkan Aprilia di Muzium Piaggio.
Mengulas mengenai harapan di Mugello, Martín menyifatkan litar itu sebagai 'halaman sendiri' buatnya kerana sepanjang kariernya dia banyak bersama pasukan Itali.
"Saya rasa seperti di rumah sendiri. Saya memakai warna yang tepat, merasai semangat Itali," kata Martin yang menjulang gelaran dunia MotoGP bersama pasukan berpangkalan di Itali, Pramac Ducati.
Menyedari cabaran besar yang menanti di Itali, Martin secara berseloroh menyifatkan perlumbaan itu menuntut keberanian yang luar biasa.
"Mugello adalah litar yang pantas dan menyeronokkan, tetapi di sana anda perlu ada 'keberanian' - maafkan saya (ketawa) - jadi, mari kita cuba buktikannya (kepada semua)," katanya.

