PERLUMBAAN Estremo SBK Endurance By Braap (2025) Dramatik, Mendebarkan!
Edisi sulung Estremo SBK Endurance By Braap (2025) bukan sahaja berjaya menghidupkan semula genre perlumbaan ketahanan (endurance) untuk jentera berkuasa tinggi di Malaysia, malah mencatat sejarah sebagai perlumbaan Superbike Endurance waktu malam pertama di negara ini
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/16/20252 min read


PENGANJURAN edisi pertama perlumbaan menguji ketahanan Estremo Superbike Endurance 2025 by Braaap melabuhkan tirainya di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (Trek Selatan) sempena Hari Malaysia, awal pagi tadi dengan pelbagai lakaran kejayaan.
Acara yang dianjurkan oleh Kelab Sukan Bermotor Braaap ini bukan sahaja berjaya menghidupkan semula genre perlumbaan ketahanan (endurance) untuk jentera berkuasa tinggi di Malaysia, malah mencatat sejarah sebagai perlumbaan Superbike Endurance waktu malam pertama di negara ini.
Apa yang menariknya, sekali pun ia adalah edisi yang pertama, sambutan yang diterima boleh dikatakan luar biasa baik daripada peserta mahupun peminat sukan permotoran tanah air.
Berlangsung sempena cuti Hari Malaysia, untuk edisi pertamanya, perlumbaan dijalankan selama sejam yang membabitkan dua kategori perlumbaan - SBK Elite dan SBK Novice dengan seramai 18 penyertaan diterima.
Sekalipun hanya 14 jentera yang berjaya untuk berada di grid atas dengan ketidak hadiran atas pelbagai sebab termasuk ada jentera tidak dapat disiapkan selepas kerosakan, ia tetap menghadirkan persaingan menarik di antara pelumba bertanding.
Dan paling mencabar dan mengujakan adalah perlumbaan terpaksa berlangsung dalam keadaan litar basah susulan hujan lebat yang turun sekali gus menghadirkan debaran berbeza dan menguji kemampuan jentera dan pelumba.
Pengerusi Kelab Bermotor Braaap, Azuan Izadee Md Nordin selaku penganjur berkata penganjuran Estremo SBK Endurance 2025 by Braaap membuktikan bahawa genre perlumbaan ketahanan masih mempunyai kelompok peminatnya yang tersendiri di Malaysia.
“Kami terkejut dan bersyukur dengan sambutan yang diterima, ia benar-benar di luar jangkaan kami. Ramai penonton tidak dapat masuk kerana ‘wristband’ habis terjual, dan ini membuktikan acara seperti ini amat dinanti-nantikan.
"Menganjurkan perlumbaan endurance waktu malam buat kali pertama adalah satu cabaran besar, tetapi kami berjaya melaksanakannya dengan lancar tanpa sebarang masalah besar,” kata Azuan.
Susulan kejayaan ini, pihak penganjur kini merancang untuk mengembangkan ESEB menjadi sebuah siri kejuaraan bermula tahun hadapan.
"Maklum balas daripada pasukan-pasukan bertanding amat positif; malah mereka mahukan lebih banyak pusingan. Justeru, kami menyasarkan untuk menganjurkan format siri dengan empat pusingan pada tahun depan.
"Untuk merealisasikan impian ini, kami amat mengalu-alukan sokongan daripada pihak penaja korporat dan juga kerajaan untuk bersama-sama membangunkan sukan permotoran tempatan, katanya.
Sebagai Estremo SBK Endurance by Braaap 2025 turut menampilkan format permulaan unik ala ‘Le Mans’, di mana pelumba dikehendaki berlari ke jentera masing-masing sebelum memulakan perlumbaan, menambah elemen dramatik dan strategi.
Selain ESTREMO sebagai penaja utama dan Pirelli sebagai pembekal tayar rasmi, perlumbaan disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan menerusi Rakan Muda, Tourism Malaysia, dan mendapat sanksi daripada Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM).
Sebagai rekod, perlumbaan dimenangi gandingan Tobias Krebs dan Chan Qing Rong dari pasukan JS Racing bersama jentera Suzuki GSX1000R manakala dalam kelas SBK Novice, kemenangan menjadi milik pasukan Silver Steed Racing yang dipacu Ao Leong Fu-Hu Zha Oneng.
KEPUTUSAN RASMI Estremo SBK 2025 By Braaap
(PODIUM)
SBK Elite
- JS RACING - (Tobias Krebs / Chan Qing Rong)
- NOMONEY RACING WITH ESTREMO - BMW - (Mohd Ahmad Hawash Khan / Amin Ariff Ashaari Abdul Aziz)
- FGRT PROJECT ONE - (Mohd Azlly Shaari / Mohd Fahmi Abdul Wahab)
SBK Novice
- SILVER STEED RACING - (Ao Leong Fu-Hu Zha Oneng)
- SOLE ART RACING - (Chia Zhen Xian / An Yong Ting)
- BAIKBIE CYCLEWORKS RACING - (Kamarul Izad Ishak / Muhammad Fareez Borhanudin)















