PELUMBA LCR Honda, Takaaki Nakagami mengharungi perlumbaan terakhir kariernya sebagai pelumba MotoGP sepenuh masa di Grand Prix (GP) Jepun, minggu lalu yang disifatkan penuh emosi.
Bergelut dengan prestasi terutama membabitkan jentera Honda, Nakagami menamatkan aksi di Motegi di kedudukan ke-13 dan mengangkat roda depan jenteranya ketika melintasi garisan penamat.
Bermula di petak ke-21 dan tersisih pada Perlumbaan Sprint oleh rakan sepasukannya, Johann Zarco, Nakagami membuat perjudian apabila menjadi satu-satunya pelumba menggunakan tayar belakang kompaun lembut dan ia membuahkan hasil.
Malah, pelumba kelahiran Jepun itu menamatkan perlumbaan 1.5 saat di belakang pelumba di tempat ke-9, Aleix Espargaro dari Aprilia.
"Ia perlumbaan yang penuh emosi," kata Nakagami. "Saya amat menikmatinya, dan saya mahu memberikan yang terbaik kepada peminat saya.
"Saya tahu sejak awal tiada apa yang saya akan rugi dengan bermula di petak belakang dan menamatkan perlumbaan dengan mata sentiasa bagus.
"Saya memberikan yang terbaik sehingga akhir. Jika saya mempunyai 1 atau 2 pusingan lagi, mungkin saya boleh mengejar kumpulan depan. Tetapi saya benar-benar menikmati penghujung perlumbaan.
"Saya amat berbangga dengan diri saya. Penggunaan tayar belakang lembut memang berisiko, tetapi saya menguruskannya dengan amat baik. Ia adalah keputusan yang bagus."
Peminat di Motegi turut memberikan penghargaan mereka kepada Nakagami sejurus perlumbaan berakhir dengan memberikan tepukan padu ketika pelumba itu melintasi mereka.
"Saya tidak akan melupakan hari ini," kata Nakagami yang sudah tujuh tahun berlumba di MotoGP. "Pusingan selepas perlumbaan memberikan perasaan yang istimewa. Saya mahu berterima kasih kepada semua orang kerana menyokong saya.
"Sekali lagi, saya berbangga dengan diri saya, saya memberikan yang terbaik, jadi ini adalah Ahad yang istimewa bagi saya. Apabila saya kembali ke pit, saya melihat krew, staf pasukan dan saya hampir menangis," katanya.
Nakagami akan menyerahkan posisinya sebagai pelumba LCR Honda kepada pelumba Thailand, Somkiat Chantra musim depan.