PERLUMBAAN Sprint GP Jerman 2024 Milik Jorge Martin, Oliveira Naik Podium

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/6/20242 min read

JORGE Martin memenangi Perlumbaan Sprint ke-4 musim ini apabila menakluk Grand Prix Jerman 2024 yang menyaksikan pelumba pasukan satelit Aprilia, Trackhouse Miguel Oliveira meraih podium sulungnya musim ini.

Ketika penguasaan Martin dari Pramac Ducati yang juga pemenang dua perlumbaan musim lalu di Sachsenring sudah dijangka, ia adalah podium sulung buat Oliveira bersama Aprilia.

Melepasi garisan penamat di belakang Oliveira yang juga bekas pelumba pasukan RNF Racing adalah juara dunia, Francesco Bagnaia dari Ducati Lenovo.

Bagnaia yang memulakan perlumbaan di petak keempat memperoleh permulaan sempurna apabila berjaya mendahului perlumbaan sebelum ia dirampas semula Martin pada pusingan ke-3.

Seorang lagi pelumba Ducati Lenovo, Enea Bastianini menamatkan perlumbaan di tempat keempat diikuti rakan sepasukan Martin, Franco Morbidelli kelima.

Sementara itu, pemenang 11 kali di Sachsenring, Marc Marquez terus mencipta sensasi apabila melepasi garisan penamat di kedudukan keenam.

Pelumba pasukan Gresini Ducati itu mengalami kecederaan yang mengganggu prestasinya ketika sesi kelayakan dan terpaksa berpuas hati memulakan perlumbaan di petak ke-13.

Begitupun, kesakitan tampak tidak begitu memberi kesan apabila pelumba kelahiran Sepanyol itu memintas satu persatu pelumba di depannya termasuk Maverick Vinales dari Aprilia di selekoh terakhir.

Vinales yang 'mengganas' ketika sesi ujian bebas pada Jumaat terpaksa berpuas hati di kedudukan ke-7.

Brad Binder muncul pelumba terbaik KTM apabila melepasi garisan penamat di kedudukan ke-8 dengan pelumba terbaik pengeluar Jepun menjadi milik Fabio Quartararo (Monster Yamaha) yang menamatkan aksi di kedudukan ke-13.

Pelumba terbaik daripada Honda pula menjadi milik Luca Marini namun di kedudukan ke-15.

Keputusan Perlumbaan Sprint GP Jerman 2024

  1. Jorge Martin (SPA) Pramac Ducati (GP24), 20m 18.904s

  2. Miguel Oliveira (POR) Trackhouse Aprilia (RS-GP24), +0.676s

  3. Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP24), +1.311s

  4. Enea Bastianini (ITA) Ducati Lenovo (GP24), +1.458s

  5. Franco Morbidelli (ITA) Pramac Ducati (GP24), +5.600s

  6. Marc Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP23), +6.281s

  7. Maverick Vinales (SPA) Aprilia Racing (RS-GP24), +6.284s

  8. Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), +9.061s

  9. Alex Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP23), +9.201s

  10. Marco Bezzecchi (ITA) VR46 Ducati (GP23), +10.800s

  11. Jack Miller (AUS) Red Bull KTM (RC16), +13.815s

  12. Fabio Di Giannantonio (ITA) VR46 Ducati (GP23), +13.960s

  13. Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), +14.432s

  14. Raul Fernandez (SPA) Trackhouse Aprilia (RS-GP23), +15.329s

  15. Luca Marini (ITA) Repsol Honda (RC213V), +15.430s

  16. Augusto Fernandez (SPA) Red Bull GASGAS Tech3 (RC16), +15.493s

  17. Johann Zarco (FRA) LCR Honda (RC213V), +16.205s

  18. Takaaki Nakagami (JPN) LCR Honda (RC213V), +20.321s

  19. Stefan Bradl (GER) HRC Test Team (RC213V), +23.733s

  20. Remy Gardner (AUS) Monster Yamaha (YZR-M1), +26.366s

  21. Joan Mir (SPA) Repsol Honda (RC213V), +26.668s

  22. Pedro Acosta (SPA) Red Bull GASGAS Tech3 (RC16)*, +26.715s