PERLUMBAAN Sprint GP Misano Jadi Milik Jorge Martin, Pecco Kekang Asakan Pedrosa!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/9/20232 min read

DUCATI menampilkan penguasaan penuh di Misano selepas trio pelumbanya yang berbeza pasukan melengkapkan kedudukan podium Perlumbaan Sprint Grand Prix (GP) San Marino diketuai Jorge Martin dari Pramac Ducati.

Buat Martin, ia adalah kemenangan ketiga Perlumbaan Sprint buatnya musim ini dan dilakukan di gelanggang dua 'budak' Misano, Marco Bezzecchi (Mooney VR46) dan Francesco Bagnaia (Ducati Lenovo).

Ketika Bezzecchi memberi tekanan kepada Martin untuk gelaran juara, persaingan bagi memburu kedudukan terakhir podium turut menarik membabitkan Bagnaia atau Pecco dengan pelumba ujian KTM, Dani Pedrosa dan Brad Binder.

Pecco yang seperti melakukan 'keajaiban' selepas kembali berlumba susulan kemalangan ngeri di Barcelona, minggu lalu terpaksa mengerah segala keringatnya untuk menghalang tempat ketiga dirampas.

"Bersandarkan kepada situasi saya, kesakitan, saya rasa ketika berlumba adalah menakjubkan. Berada di tempat ketiga adalah kerja yang menakjubkan dan kami gembira," kata Pecco.

"Perasaan ketika perlumban bukan yang terbaik tetapi itu bukan punca dan saya sentiasa meletakkan sasaran untuk berada di podium dan tahniah kepada Jorge. Dan hari ini, saya hanya mahu menikmatinya."

Kemenangan Martin yang memulakan perlumbaan di petak utama menyaksikan kelebihan Pecco selaku pendahulu kejuaraan keseluruhan dicantas kepada 45 mata.

"Ia memang hari yang baik, petak utama dengan catatan rekod. Saya menjangkakan sesuatu yang lebih sukar pada pusingan pertama tetapi Marco kemudian sentiasa memberi tekanan kepada saya dan perlu mengerah segalanya," kata Martin.

"Saya amat gembira dengan kemenangan ini dan berharap untuk melakukannya lagi esok."

Selain Pecco yang dilihat masih sedikit bergelut dengan kecederaan, turut berdepan kecederaan di Barcelona adalah Bezzecchi (tangan) yang menyaksikannya melakukan beberapa kesilapan ketika perlumbaan.

Berlumba dengan tiket 'wildcard' di Misano, Pedrosa yang juga pelumba ujian KTM bergelar pencabar tulen untuk kedudukan podium menamatkan saingan di kedudukan ke-4 diikuti rakan sepasukannya, Brad Binder.

Pelumba Aprilia Racing, Maverick Vinales berada di kedudukan keenam dengan pelumba pasukan Jepun terbaik menjadi milik Marc Marquez yang melepasi garisan penamat di tangga ke-10.

Keputusan Perlumbaan Sprint GP San Marino

1. Jorge Martin (SPA) Pramac Ducati (GP23), 19 minit 58.785 saat (s)

2. Marco Bezzecchi (ITA) Mooney VR46 Ducati (GP22), +1.445s

3. Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP23), +4.582s

4. Dani Pedrosa (SPA) Red Bull KTM (RC16), +4.772s

5. Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), +4.931s

6. Maverick Vinales (SPA) Aprilia Racing (RS-GP23), +6.062s

7. Luca Marini (ITA) Mooney VR46 Ducati (GP22), +6.519s

8. Aleix Espargaro (SPA) Aprilia Racing (RS-GP23), +7.893s

9. Alex Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP22), +9.264s

10. Marc Marquez (SPA) Repsol Honda (RC213V), +11.318s

11. Raul Fernandez (SPA) RNF Aprilia (RS-GP22), +13.365s

12. Miguel Oliveira (POR) RNF Aprilia (RS-GP22), +13.788s

13. Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), +14.243s

14. Johann Zarco (FRA) Pramac Ducati (GP23), +14.154s

15. Jack Miller (AUS) Red Bull KTM (RC16), +17.421s

16. Pol Espargaro (SPA) Tech3 GASGAS (RC16), +17.451s

17. Fabio Di Giannantonio (ITA) Gresini Ducati (GP22), +18.133s

18. Franco Morbidelli (ITA) Monster Yamaha (YZR-M1), +19.749s

19. Augusto Fernandez (SPA) Tech3 GASGAS (RC16)*, +20.403s

20. Michele Pirro (ITA) Aruba.it Ducati (GP23), +21.454s

21. Takaaki Nakagami (JPN) LCR Honda (RC213V), +21.962s

22. Stefan Bradl (GER) LCR Honda (RC213V), +23.672s

23. Joan Mir (SPA) Repsol Honda (RC213V), +36.100s

* Rookie