PERLUMBAAN Yamaha R15M Race Elites Diperkenalkan Di Pusingan 2 MSBK 2024 Minggu Ini
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/15/20241 min read


PUSINGAN 2 Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) 2024 di Litar Antarabangsa Sepang Petronas bakal lebih meriah dengan penambahan satu kategori perlumbaan baharu - Yamaha R15M Race Elites.
Seperti namanya, perlumbaan Yamaha R15M Race Elites adalah perlumbaan satu pengeluar 'One Make Race' dan menggunakan motosikal jenis 'Sportbike' Yamaha R15M.
Dianjurkan dengan inisiatif bersama Hong Leong Yamaha Motor (HLYM), menurut MSBK, kehadiran kategori baharu ini diharapkan dapat menjadi antara platform buat pelumba-pelumba berbakat tempatan untuk mengetengahkan kemampuan mereka dan berlumba dengan standard sebenar.
Secara keseluruhan, Yamaha R15M Race Elites akan menampilkan persaingan membabitkan 32 pelumba.
Kesemua pelumba dipilih daripada pelbagai kategori perlumbaan di kejuaraan kebangsaan antaranya Kejuaraan Petronas Malaysia Cub Prix.
Apa yang menarik, selain pelumba daripada kelas elit CP150, turut dipilih adalah pelumba daripada kelas CP125 dan kelas ProAm.
Mengulas ringkas spesifikas Yamaha R15M yang digunakan dalam perlumbaan Yamaha R15M Race Elites, ia adalah motosikal yang dipadankan dengan enjin VVA bersesaran 155 cc, 1 Silinder, 4 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.
Memiliki ciri-ciri menarik seperti 'Quickshifter', klac 'Assist & Slipper' dan pelbagai lagi, begitupun unit yang disediakan untuk berlumba menjalani pengubahsuaian untuk membolehkannya 'melayan' trek lumba.
Selain Yamaha R15M Race Elites, pihak Yamaha Motor Malaysia turut menganjurkan perlumbaan 'One Make Race' Berjaya Sompo Yamaha Y16ZR Race MasterClass untuk tahun ketiga.


