PERMAINAN Minda? Tak Berguna Terhadap Saya - Pecco

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/31/20241 min read

FRANCESCO Bagnaia menjelaskan dia masih belum memikirkan mengenai cabaran yang bakal hadir daripada gandingannya di Ducati Lenovo pada musim depan, Marc Marquez.

Marquez yang juga juara dunia enam kali MotoGP seperti dijangka 'menang' pertarungan tempat ke Ducati Lenovo dengan menewaskan Jorge Martin sekalipun baru menyertai pengeluar Itali itu tahun ini.

Lebih menarik, pelumba kelahiran Sepanyol itu masih belum menjuarai sebarang perlumbaan bersama jentera Ducati ketika Martin sudah pun mempunyai dua kemenangan pada perlumbaan utama dan tiga di perlumbaan Sprint.

Turut terkenal sebagai pelumba yang sentiasa memberi cabaran kepada rakan sepasukannya dan dikatakan 'pakar' dalam permainan minda, Pecco ketika ditanya mengenai perkara itu mengakui ia bukan masalah.

"Saya akan berfikir mengenainya pada tahun depan. Kami tahu mengenai bakatnya, tetapi ia tiada beza daripada Martin, yang juga amat laju," kata Pecco kepada TNT Sports ketika diminta mengulas mengenai kehadiran Marquez.

"Apa yang penting adalah untuk bekerja dengan baik, untuk mengekalkan suasana di 'box' pasukan. Begitupun di atas litar, ia akan berbeza kerana itulah tempat di mana kamu perlu menewaskan rakan sepasukan kamu.

"Kekuatan saya adalah dari aspek mental. Permainan tekanan psikologi tidak berguna kepada saya," kata Bagnaia.

Mengulas mengenai baki saingan musim ini, Bagnaia tampak cukup yakin dengan kemampuan yang dimiliki Ducati ketika ini.

"Kami berada di tahap tertinggi yang pernah kami ada. Kami 0.6 saat atau 0.7 saat lebih pantas di setiap litar. Martin juga berada dalam keadaan yang baik, Marc juga melakukan kerja yang hebat," katanya.

Sebagai rekod, sepanjang kariernya di MotoGP, Marquez tidak pernah menamatkan saingan sebagai pelumba kedua terbaik dalam pasukan (kecuali 2020 susulan kecederaan).