PERMINTAAN Zaqhwan Kepada PETRONAS MIE Honda Racing!
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/24/20251 min read


PELUMBA WorldSBK negara, Mohd Zaqhwan Zaidi akur banyak 'kerja rumah' yang perlu dilakukannya sebelum dapat memberi cabaran di pentas Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2025 dan antara yang berada dalam perancangannya adalah menjalani ujian sebelum mengharungi pusingan kedua di Portugal.
Zahqhwan mengharungi tempoh mengecewakan pada pusingan pembuka tirai WSBK di Phillip Island, Australia apabila tidak layak untuk berlumba susulan catatan masa yang dilakukan ketika kelayakan tidak memenuhi had.
Mengakui ia sebagai mengecewakan, pelumba pasukan PETRONAS MIE Honda Racing itu berkata dia terpaksa bergelut dengan masa untuk mendapatkan keserasian bersama jenteranya Honda CBR1000RR-R.
Dan sekalipun tidak berlumba, pelumba kelahiran Kajang, Selangor itu menjelaskan ia masih minggu yang positif dan membantunya dan pasukan untuk memahami apa yang diperlukan untuk meningkat.
"Kami sudah mengadakan mesyuarat untuk membincangkan pelbagai aspek dengan ketua krew dan saya fikir kami perlu mengharungi ujian sebelum pusingan berikutnya, yang bagi saya amat membantu," kata Zaqhwan.
"Sudah tentu kami perlu membuat kemajuan, tetapi untuk melakukannya kami memerlukan lebih banyak masa di litar. Saya juga perlu berusaha keras dari sudut persiapan fizikal, jadi saya akan melakukannya dalam minggu dan bulan yang akan datang.
"Dari sudut jentera, kami perlu mencuba pelbagai tetapan dan penyelesaian yang boleh membantu saya untuk menunggang.
"Seperti yang saya katakan, kami memerlukan masa. Pasukan sudah bekerja keras di sini, dan saya berterima kasih kepada semua orang di garaj atas bantuan mereka.
"Rancangannya sekarang adalah untuk melakukan yang terbaik untuk bersedia menghadapi pusingan seterusnya," kata bekas pelumba Moto2 negara itu.
Sebagai info, pusingan kedua dijadual berlangsung pada 28 hingga 30 Mac depan di Portimao, Portugal yang menyaksikan Zaqhwan akan menyambut Aidilfitri di perantauan.
