PERPINDAHAN Luca Marini Ke Repsol Honda Hampir Dimuktamad, Tapi VR46 Letak Syarat!
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/16/20231 min read
REPSOL Honda hampir mengakhiri pencariannya terhadap pengganti Marc Marquez iaitu Luca Marini namun ia bersyarat - hanya selepas pasukan MotoGP VR46 Ducati menemui pengganti.
Adik kepada legenda MotoGP Itali, Marini dilaporkan bakal menyertai Repsol Honda dengan perjanjian selama dua tahun bermula kempen 2024.
Sekalipun perbincangan dikatakan sudah memasuki tahap akhir, Sky Italia melaporkan pengumuman rasmi mengenainya hanya akan dilakukan selepas pasukan milik Rossi, VR46 berjaya mendapatkan pengganti Marini.
VR46 ketika ini tidak memiliki pengganti berkaliber dalam akademinya dan menurut Sky Italia, ada dua nama yang disenarai pendek untuk menjadi rakan sepasukan Marco Bezzecchi.
Dua nama yang kuat dikaitkan ketika ini adalah Fermin Aldeguer selain pelumba pasukan Gresini Ducati, Fabio Di Giannantonio yang dikatakan akan menemui pengurusan VR46 dalam tempoh terdekat.
Begitupun, Aldeguer yang turut dikaitkan dengan perpindahan ke Repsol Honda sebelum bos pasukan itu, Alberto Puig menafikan khabar angin itu dikatakan sebagai pilihan utama.
“Perbincangan di antara Mooney VR46 dan Fermin Aldeguer, pelumba berusia 18 tahun dari Sepanyol yang berlumba di Moto2 sudah pun bermula," lapor Sky Italia.
"Jika dan apabila tandatangan sudah dimuktamadkan, baru perpindahan berganda boleh diteruskan: Marini ke Honda bagi menggantikan Marc Marquez, Aldeguer ke Mooney VR46 untuk menggantikan Marini.
"Untuk pelumba Sepanyol itu (Aldeguer), pemilik pasukan Speed Up, Luca Biscoscuro meminta pampasan untuk menyelesaikan kontrak yang juga masih terpakai bagi 2024.
"Situasinya sekarang adalah perjanjian itu bakal dimuktamadkan, malah VR46 sudah pun mempunyai jalan penyelesaian termasuk Fabio Di Giannantonio yang akan bertemu pengurusan pasukan Itali itu dalam tempoh terdekat."