PERSEKUTUAN Motosikal Perancis Perkenal Siri Perlumbaan e-Skuter, Malaysia Bila Lagi?

TULAR

7/21/20231 min read

SELARAS dengan penggunaannya yang semakin meluas, populariti e-skuter turut berkembang terutama di negara-negara maju.

Di Perancis, kenderaan dua roda yang kebiasaan digunakan untuk beriadah atau kegunaan bandar (penghubung antara kenderaan perkhidmatan awam) itu sudah mempunyai siri perlumbaan sendiri yang mendapat 'restu' badan induk sukan permotoran negara itu, Persekutuan Motosikal Perancis atau FFM.

Perkembangan itu jelas menggembirakan penggemar kenderaan dipacu elektrik di negara berkenaan.

Sebelum ini pada tahun 2028, FFM melancarkan siri perlumbaan basikal bukit elektrik E-MTB Enduro yang terbukti mendapat sambutan dan mengujakan serta menjadi medan bagi mempamerkan teknologi terkini e-basikal.

Mengambil konsep yang sama dengan Siri Kejuaraan e-Skootr Dunia, kejuaraan yang dikenali sebagai Siri E’Trott Racing FFM itu menampilkan versi e-skuter yang lebih berkuasa daripada yang ada di jalanan dan bergandingan dengan syarikat Time4Racing.

Dan pihak FFM turut menggalakkan pemegang lesen perlumbaan FFM untuk menyertai kejuaraan berkenaan, sekalipun ia tidak selaju perlumbaan Superbike.

Peraturan yang digunakan untuk perlumbaan e-skuter juga turut mengambil contoh perlumbaan motosikal seperti mempunyai sesi latihan, kelayakan dan kemudian perlumbaan.

Setakat ini, ada dua kategori perlumbaan diperkenalkan iaitu e-skuter dengan berat tidak lebih daripada 38 kg dan lebih daripada 38 kg. Kedua-dua kategori tidak boleh menggunakan roda bersaiz tidak melebihi 300 mm.

Perlumbaan pertama e-skuter E’Trott Racing FFM sudah berlangsung di Litar Antarabangsa Antoine Hubert d'Angerville minggu lalu dan perlumbaan seterusnya dijadual berlangsung pada 26 hingga 27 Ogos 2023 di Litar Carole bersama Kejuaraan Superbike Perancis.

Sekalipun perlumbaan e-skuter E’Trott Racing FFM masih belum berstatus kejuaraan kebangsaan, badan induk itu berhadap dapat meningkatkan statusnya selepas ini.

Dan di Malaysia, adakah adakah Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) berminat untuk menganjurkan perlumbaan e-skuter ini? Kami pun tiada jawapannya tetapi jika ya, ia pasti perkembangan yang menarik.