PERSIAPAN Hakim Danish Terganggu, Dana 'Sangkut'?

Dengan tempoh yang semakin singkat menuju pusingan pembuka tirai Moto3, pengurusan Hakim Danish, ZK Racing mendedahkan mereka masih menanti pengesahan dana daripada Litar Antarabangsa Sepang (SIC)

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/3/20261 min read

KEMPEN Moto3 2026 dijadual membuka tirainya di Thailand, 1 Mac ini dan berbaki kurang sebulan sebelum detik itu, ada perkembangan kurang menyenangkan diperoleh membabitkan pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli.

Dengan tempoh yang semakin singkat, pengurusan pelumba berusia 18 tahun itu, ZK Racing mendedahkan mereka masih menanti pengesahan dana daripada Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Seperti diketahui, Hakim Danish akan membuat debut semusim penuh dalam kancah Moto3 musim ini bersama pasukan MT Helmet MSi.

Begitupun Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin menjelaskan pihaknya ketika ini masih menunggu kelulusan bajet yang dijangka disalurkan melalui SIC.

Tegas bekas pelumba negara itu, kelewatan menerima ‘lampu hijau’ berhubung bajet itu berisiko menjejaskan persiapan bukan sahaja Hakim Danish, malah seorang lagi pelumba muda, Qabil Irfan Azlan, terutama dari aspek latihan, ujian jentera serta persediaan mental.

"Kalau kita mahu tunggu kelulusan (dana) dapat baru hendak menjalani latihan atau berlumba, memang tak sempat. Kita tidak mahu ambil risiko yang tidak sepatutnya, terutama membabitkan insuran dan keselamatan pelumba," kata Zulfahmi.

Mengulas lanjut, Zulfahmi tidak menolak yang perubahan kepimpinan di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berkemungkinan turut memberi kesan terhadap status kelulusan dana berkenaan.

Dan ketika ini, Zulfahmi mengakui pihaknya menggunakan bajet sendiri terlebih dahulu bagi memastikan program latihan pelumba negara tidak tergendala.

Mengikut perancangan, Hakim Danish akan terbang ke Eropah lebih awal untuk menjalani latihan sebagai persiapan menyesuaikan diri serta menjalani sistem latihan lebih ketat.