'PERSIAPAN Positif, Tapi Tak Sempurna'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/27/20251 min read


PELUMBA bintang Ducati Lenovo, Francesco Bagnaia mengakui tidak memperoleh kempen pra-musim seperti diharapkan ketika tiba di Buriram, Thailand bagi menghadapi pusingan pertama MotoGP 2025 minggu ini.
Pada ujian pra-musim kali ini, pelumba kelahiran Itali mencatatkan masa terpantas ketika ujian di Barcelona diikuti kedua terpantas di Sepang.
Begitupun, juara dunia dua kali MotoGP itu tampak bergelut pada ujian pra-musim terakhir di Buriram, pertangahan bulan lalu selepas hanya melakukan catatan ke-5 terpantas.
Dan sekalipun tidak berpuas hati dengan apa yang diperolehnya pada kempen pra-musim kali ini, Bagnaia begitupun masih melabelnya sebagai positif.
"Perlumbaan pertama Grand Prix adalah detik yang istimewa, perlumbaan yang sentiasa ada sedikit rasa yang berbeza," kata Bagnaia memetik laporan Crash.net.
"Saya datang daripada kempen pra-musim yang secara keseluruhan positif, tetapi tidak sempurna, tetapi kami sudah bekerja sebaik mungkin untuk menyediakan jentera di tahap terbaik dan membuat pilihan paling baik dari sudut arah tuju pembangunan.
"Sejak Jumaat perkara akan mula menjadi serius di litar dan ia adalah perkara yang saya gemari dan pada beberapa tahun kebelakangan ini ia memang cukup serasi dengan Ducati. Saya tidak sabar."
Pada musim ini, Bagnaia yang menamatkan kempen MotoGP musim lalu sebagai naib juara di belakang Jorge Martin akan berkongsi paddock dengan juara dunia lapan kali, Marc Marquez.
