PERTAMINA Enduro VR46 Ducati MotoGP Tayang 'Liveri' 2024, Cipta Bangga 'Geng' Seberang!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/25/20241 min read

PASUKAN MotoGP milik legenda Valentino Rossi tampil dengan warna 'asli' kuning ketika pelancaran pasukan Pertamina Enduro VR46 Ducati bagi kempen musim 2024.

Selepas dua musim digandingkan dengan warna hitam sebagai warna dominan, VR46 yang mendapat penaja utama baharu iaitu syarikat petroleum gergasi Indonesia, Pertamina yang menyaksikan penampilan pasukan itu berubah.

Menggunakan warna kuning 'Fluorescent' yang sinonim dengan Rossi, ia kemudian digandingkan dengan warna putih dan merah Pertamina.

Sebagai info, Pertamina menjadi penaja utama kepada VR46 selama tiga musim bermula tahun ini.

"Untuk musim 2024 Aldo Druli (Pereka terkemuka) merevolusikan jiwa grafik pasukan dengan penambahan warna DNA kami kuning 'Fluorescent'. Harapan terbaik untuk memulakan pengembaraan baharu," kata Pengarah pasukan, Alessio Salucci.

Musim ini, Pertamina Enduro VR46 Ducati dipacu dua pelumba Italim, Marco Bezzecchi dan Fabio di Giannantonio selepas adik kepada Rossi, Luca Marini memilih untuk menyertai Repsol Honda.

Rossi dalam pada itu berkata: "Sudah 10 tahun berlalu sejak kami memulakan projek ini. Pada awalnya saya yakin yang MotoGP bukan sasaran utama kami, orang di sekeliling saya banyak memberikan saya semangat, 'Uccio' Salucci antara yang pertama.

"Perkara berjalan dengan baik sejak awal dan tahun lalu adalah sesuatu yang sukar untuk dilupakan, menakjubkan dan semua orang meningkat. Kemenangan MotoGP pertama di Argentina bermakna kami memenuhi impian secara kolektif.

"Banyak perkara baharu menanti kami pada 2024. Penaja baharu, pelumba baharu dengan Bez, Fabio dan pakej teknikal di tahap tertinggi.

"Saya amat gembira dengan kerjasama dengan Pertamina Enduro, peminat Indonesia sentiasa menyokong dan menghormati saya.

"Marco dan Fabio adalah gandingan yang baharu, tetapi mereka adalah dua pelumba yang amat pantas dan baik. Ia musim sejuk yang panjang dan saya tidak sabar untuk melihat mereka di atas litar di Malaysia dan kemudian di Qatar untuk permulaan musim baharu," kata Rossi.

Sebagai info, Bezzecchi dan Di Giannantonio akan menunggang jentera Ducati Desmosedici GP23 musim ini.