BOS besar Ducati Corse, Gigi Dall’Igna mengakui dia tidak mampu untuk memandang skrin televisyen menyaksikan pertarungan membabitkan Francesco Bagnaia dan Jorge Martin di Grand Prix Malaysia, minggu lalu.
Bagnaia dari Ducati Lenovo dan Martin dari Pramac Ducati menampilkan salah satu persembahan terbaik di MotoGP pada perlumbaan utama di Sepang dengan kedua-duanya saling bertukar posisi pendahulu sejak garisan permulaan.
Begitupun selepas beberapa pusingan, Martin yang sememangnya mempunyai kelebihan mengendurkan sedikit tekanannya kepada Bagnaia dan membenarkan pelumba Itali itu meraih kemenangan.
"Sukar untuk menjelaskannya dengan emosi," kata Dall’Igna yang juga Pengurus Besar Ducati Corse. "Kesemua itu, tiga pusingan pertama, mereka melakukan kerja yang menakjubkan, perlumbaan yang cukup mengujakan dan saya tidak sanggup melihat televisyen kerana ia mengagumkan.
"Mereka menunggang jentera mereka seperti ia adalah perlumbaan pertama tahun ini. Jadi ia sukar dipercayai.
"Sudah tentu, Jorge mempunyai kelebihan yang besar dari sudut mata, jadi ia pasti sukar untuk Pecco. Tetapi pada akhirnya, Pecco bertarung seperti singa, seperti biasa."
Pengurus pasukan Ducati Lenovo, Davide Tardozzi berkata pertarungan Pecco dan Martin adalah jawapan kepada mereka yang mengkritik kualiti kejuaraan dunia itu.
"Ini adalah jawapan yang terbaik kepada mereka yang berfikir adalah mustahil untuk memintas di MotoGP ketika ini," kata Tardozzi.
"Saya fikir Pecco dan Jorge melakukan kerja yang menakjubkan untuk sukan ini dan saya fikir pertarungan mereka pada tiga pusingan pertama adalah cukup hebat.
"Saya fikir ia membuktikan mereka adalah juara. Siapa saja yang memenangi kejuaraan layak mendapatkannya dan siapa yang berada di kedudukan kedua juga adalah juara.
"Ia menyentuh perasaan saya adan emosinya amat tinggi. Saya fikir kita perlu memberikan tepukan kepada Jorge, kerana tidak semua orang boleh melakukan pusingan seperti itu dalam posisinya.
"Saya fikir Jorge adalah pejuang, dia layak untuk memimpin kejuaraan dan benar-benar pelumba yang menakjubkan."
Menuju perlumbaan penutup tirai di GP Barcelona minggu depan, Martin ketika ini memimpin carta kejuaraan MotoGP dengan kelebihan 24 mata di depan Bagnaia.