PESCAO Berang, ARRC Didakwa Perlu Penambahbaikkan!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/29/20242 min read

HAFIZH Syahrin Abdullah jelas tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewa susulan 'insiden' yang menimpanya ketika Perlumbaan 2 ASB1000 Pusingan 4 ARRC 2024 di Mandalika, Indonesia, semalam.

Selepas melakukan kesilapan penggunaan tayar yang menyaksikan pelumba JDT Racing Team itu sekadar menamatkan Perlumbaan 1 di kedudukan ke-7, Hafizh tampak lebih yakin mencabar pada Perlumbaan 2.

Memulakan perlumbaan di petak ke-4, pelumba yang menggunakan jentera Ducati Panigale V4R itu pada satu ketika ketinggalan sebelum bangkit berbaki lapan pusingan untuk mengisi tempat kedua di belakang pelumba Jepun, Soichiro Minamimoto.

Dan ketika perebutan juara tampak sengit sehingga pusingan terakhir, laluan perlumbaan bekas pelumba MotoGP negara itu terhalang oleh 'Back marker' yang juga pelumba 'Wildcard' Indonesia, Eric Saputra menuju beberapa selekoh terakhir.

Keputusan itu menyaksikan cabaran Hafizh untuk bergelar juara berakhir dengan Minamimoto dari Yamaha Tekhne Racing Team Asean melepasi garisan penamat dengan selesa.

Ketika ditemuramah, Hafizh sekalipun nampak tenang begitupun memberikan beberapa kata-kata berbaur nasihat terutama kepada penganjur perlumbaan mengenai situasi yang terjadi kepadanya.

"Pertama sekali saya mahu mengucapkan terima kasih kepada pasukan saya," kata Hafizh dalam temuramah berkenaan.

Tetapi saya tidak faham mengapa pelumba yang lima saat lebih lambat dibenarkan berlumba dan ia berlaku banyak kali sekalipun bendera biru sudah dikibarkan."

Sebagai rekod, catatan masa yang dilakukan Eric yang beraksi bersama pasukan Yamaha Cargloss RRS ketika kelayakan adalah 8.555 saat lebih perlahan berbanding pelumba petak utama, Minamimoto yang melakukan 1:35.426 saat.

"Ia perlumbaan yang baik," kata Hafizh mengulas prestasinya. "Kami boleh menang pada pusingan terakhir dan saya mengetahuinya.

"Saya menyimpan tayar saya untuk pusingan terakhir kerana saya tahu pada dua pusingan terakhir saya mempunyai potensi di sana tetapi ini adalah sebahagian daripada perlumbaan.

"Apapun, kejuaraan ini perlu penambahbaikkan dengan pelumba yang perlahan saya fikir tidak boleh dibenarkan berlumba jika ia melebihan lima saat.

Dan untuk menjadikan kejuaraan ini lebih baik mereka perlu menambah baiknya. Saya menerima keputusan tetapi saya tidak dapat menerima bendera biru dan pelumba seperti ini," kata Hafizh yang turut mengucapkan terima kasih dan meminta maaf kerana tidak berjaya membawa pulang kemenangan ke Malaysia terutama kepada bosnya, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Berdasarkan peraturan ARRC, pihak penganjur menggunakan '107% Rule' yang menetapkan masa sepusingan kelayakan pelumba mestilah dalam tempoh 107% daripada masa pusingan terpantas yang ditetapkan semasa sesi berkenaan.

Dan jika masa pemandu melebihi tempoh ini, pelumba berkemungkinan tidak dibenarkan memulakan perlumbaan melainkan diberikan kebenaran. Dari sudut teknikal, Eric sememangnya tidak layak untuk berada di grid perlumbaan namun penganjur memberikannya kebenaran untuk berlumba.

Keputusan di Mandalika turut menyaksikan Hafizh terlepas kedudukannya sebagai pendahulu carta kejuaraan ASB1000 kepada pelumba Indonesia, Andi Farid Izdihar (Honda Asia-Dream Racing with Astemo) namun hanya dibezakan dengan enam mata.