PETRONAS Bakal Taja JDT Racing Team, Bangunkan Semula Litar Pasir Gudang?

TERKINI

4/2/20241 min read

SYARIKAT petroleum gergasi negara, Petronas dikatakan dalam perancangan untuk menjadi penaja kepada pasukan lumba milik Pemangku Sultan Johor, DYAM Tunku Mahkota Ismail, JDT Racing Team.

JDT Racing Team membuat penampilan pertamanya di pentas perlumbaan antarabangsa di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024 di Thailand, bulan lalu.

Menariknya, penampilan sulung pasukan itu bersama pelumba berpengalaman negara, Hafizh Syahrin Abdullah berjaya membawa pasukan itu ke pentas podium kelas elit, ASB1000.

Dan perkembangan terbaharu, pasukan yang menggunakan jentera Ducati Panigale V4R itu dikhabarkan bakal mendapat suntikan dana menerusi penajaan Petronas dan ia diumumkan sendiri Prinsipal pasukan itu, Steven Tan.

Lebih mengujakan, menurut laporan Flash Sukan, Steven berkata kerjasama kedua-dua entiti itu lebih besar dan bukan saja membabitkan penajaan pasukan.

“Memang benar saya sudah membawa Petronas untuk menghadap Pemangku Sultan Johor dan semuanya baik serta pihak kami sedang dalam proses melengkapkan kertas kerja untuk mendapatkan kelulusan daripada ahli lembaga pengarah mereka," menurut laporan berkenaan.

“Mereka berminat untuk menaja dan menjalin kerjasama dengan JDT Racing Team dan mereka juga kini sedar nilai pasukan ini terutama selepas melihat penglibatan Tunku Ismail secara langsung dalam projek ini yang boleh saya gambarkan sebagai impak jenama Tunku dan JDT itu sendiri,” menurut laporan berkenaan.

Apa yang lebih menarik, Steven menjelaskan kerjasama dengan Petronas turut membabitkan pembangunan semula Litar Pasir Gudang yang dilaporkan bakal menjadi hab permotoran dan pencarian bakat akademi JDT Racing Team.

“Kerjasama ini turut akan melibatkan pembangunan semula Litar Pasir Gudang dan juga akademi permotoran JDT sekali gus bakal melihat Tunku Mahkota Ismail sekali lagi mencipta sejarah kali ini dalam sukan permotoran dua roda pula,” kata Steven lagi.

Begitupun, tiada kenyataan rasmi daripada pihak Petronas setakat ini diperoleh.