PETRONAS Bakal Umum Pasukan 'Wildcard' GP Malaysia 2023 Hari Ini, Kerjasama Dengan MIE Racing?

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/7/20231 min read

TEKA-teki sama ada Malaysia akan mempunyai wakil 'Wildcard' di Grand Prix (GP) Malaysia 2023 bakal terjawab, hari ini susulan 'teaser' yang dikeluarkan Petronas Motorsports dalam laman sosial rasminya, semalam.

Selain Petronas Motorsports, turut mengeluarkan hantaran yang sama di laman rasmi Instagram mereka adalah petronasmieracinghondateam.

Menerusi video 'teaser' yang ditayangkan, dapat dilihat logo Petronas bergandingan dengan MIE Racing yang memberi petanda kerjasama tahun lalu berkemungkinan akan diteruskan musim ini.

Bersama video berkenaan adalah kapsyen: "Adakah kamu bersedia? Kami mempunyai berita yang mengujakan esok (hari ini)... Terus bersama kami."

Kepada yang masih ingat, Malaysia mempunyai dua pelumba yang beraksi dalam kelas Moto2 menerusi tiket tiket 'Wildcard' bersama pasukan Petronas Mie Racing pada GP Malaysia 2022.

Tetapi meneliti video berkenaan, dapat dilihat hanya seorang pelumba dipamerkan selain selingan rakaman musim lalu.

Ia seperti mencetus spekulasi sekalipun media sebelum ini menyatakan Malaysia akan memiliki dua pelumba untuk kategori 'wildcard' itu.

Tahun lalu, dua pelumba yang membawa bendera Malaysia di Sepang adalah Kasma Daniel Kasmayuddin dan Azroy Hakeem Anuar dalam kelas Moto2.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, dua nama dikaitkan dengan 'tiket' berkenaan adalah Azroy dan Helmi Azman dengan kedua-duanya baru saja mengharungi perlumbaan ARRC 2023 dalam kelas SS600 di Zhuhai China, minggu lalu.

Azroy pada perlumbaan berkenaan turut bergelar juara pada Perlumbaan 1 dengan Helmi meraih kedudukan podium pada kedua-dua Perlumbaan 1 dan 2.