PETRONAS Harus Kaji Semula Kerjasama Dengan MIE Honda Racing - Zulfahmi Khairuddin

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/26/20252 min read

SYARIKAT petroleum gergasi negara, PETRONAS perlu meneliti semula kerjasama dengan pasukan MIE Honda Racing di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK), menurut pandangan bekas pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin.

Pasukan yang mendapat tajaan PETRONAS itu yang turut membariskan dua pelumba negara mencatat keputusan buruk pada pusingan pembukaan WSBK 2025 di Litar Phillip Island, Australia pada minggu lalu.

Dalam kelas WorldSBK, pelumba negara Mohd Zaqhwan Zaidi langsung tidak mengharungi sesi perlumbaan selepas catatan masa yang dilakukannya ketika kelayakan tidak melepasi had masa minimum yang ditetapkan.

Dalam kelas WorldSSP pula, seorang lagi pelumba negara, Syarifuddin Azman atau lebih dikenali sebagai Damok tidak berjaya menamatkan perlumbaan dalam kelompok pungutan mata selepas menamatkan Perlumbaan 1 di kedudukan ke-17 dan ke-19 pada Perlumbaan 2.

Mengakui cukup kecewa dengan situasi yang berlaku, Zulfahmi yang pernah menjadi pengurus kepada Damok menegaskan persiapan pasukan MIE Honda Racing sebagai tidak mencukupi yang sekaligus menyekat pelumba negara untuk menampilkan aksi lebih baik.

"Saya sebagai individu yang pernah menguruskan Damok sebelum dan berkawan baik dengan Zaqhwan, saya rasa amat kecewa, tetapi saya percaya mereka sebagai pelumba lebih kecewa," kata Zulfahmi.

"Saya lihat persiapan mereka (MIE Honda Racing) tidak munasabah. Pelumba kita langsung tidak pergi ke ujian pra-musim di Eropah, sedangkan pasukan lain sudah mengadakan tiga hingga empat kali ujian."

Sedar dengan 'kekangan' yang diperoleh, Zulfahmi yang pernah berada di paddock WSBK selama dua tahun menegaskan pasukan yang berlumba sepenuh masa di pentas setinggi WSBK sepatutnya berupaya membuat persiapan yang jauh lebih baik dan sistematik.

Justeru, Zulfahmi yang turut pernah beraksi di pentas Moto3 dan Moto2 percaya MIE Racing yang membawa nama PETRONAS ini dinilai semula oleh syarikat itu kerana kerjasama yang dibuat dilihat tidak memberikan impak positif terhadap pelumba negara.

Malah, Zulfahmi turut merujuk kepada prestasi pelumba-pelumba lain seperti Hafizh Syahrin, Adam Norrodin dan Khairul Idham Pawi yang pernah berlumba bersama pasukan itu sebelum ini.

"Apa yang lebih pelik adalah, ini bukan musim pertama mereka, tetapi musim ketiga, tetapi keputusan yang diperoleh tetap teruk.

"Saya percaya kualiti pelumba-pelumba kita tidak seteruk itu, terutama sampai tidak layak untuk berlumba. Ia adalah sesuatu yang cukup pelik dan menjatuhkan maruah seseorang pelumba.

"Saya tahu mereka boleh buat lebih baik. Saya juag tahu dengan siapa mereka berlumba, dan mungkin Honda ada sedikit kekurangan tetapi untuk Zaqhwan tidak layak adalah tak munasabah," kata Zulfahmi.

Sebagai rekod, pasukan PETRONAS MIE Honda Racing yang diketuai oleh Midori Moriwaki membuat penampilan sulung mereka di WSBK pada musim 2023 dan sentiasa menyenaraikan pelumba negara.