PETRONAS MIE Racing Honda Lakar Kemenangan Sulung WorldSSP, Mackenzie Juara Perlumbaan 2 Di Rep. Czech!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/31/20231 min read

KEJAYAAN membanggakan dan bersejarah dilakar pasukan Petronas MIE Racing Honda di Pusingan 8 Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) di Republik Czech apabila pelumbanya, Tarran Mackenzie merangkul kemenangan sulung kelas WorldSSP buat pasukan itu, semalam.

Turut tidak mengecewakan adalah rakan sepasukan pelumba kelahiran Britain itu yang juga pelumba berbakat negara, Adam Norrodin yang turut menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima.

Selepas mengharungi Perlumbaan 1 yang kurang memberangsangkan, Perlumbaan 2 memberi peluang buat kedua-dua pelumba bangkit dan turut menyaksikan percaturan berani mereka membuahkan hasil.

Memulakan aksi dalam keadaan litar dan tayar kering, hujan mula turut selepas lima pusingan perlumbaan berlangsung dan memberi impak kepada persembahan di litar selepas beberapa pelumba mengalami kemalangan.

Dan keputusan Mackenzie serta Adam yang membuat keputusan tidak menukar tayar jelas membuahkan hasil yang cukup lumayan.

"Saya amat gembira. Sudah tentu saya tidak menjangkakannya tetapi saya tahu yang situasi seperti hari ini (semalam), saya perlu bersedia untuk apa saja," kata Mackenzie. "Saya melihat kepada perlumbaan SSP300 sebelum ini di mana seorang pelumba tidak memasuki pit dan saya melakukan perkara saya dan ia berjaya.

Adam dalam pada itu mengakui keadaan cuaca benar-benar memainkan peranan pada perlumbaannya kali ini.

"Perasaan saya cukup baik sejak dari awal perlumbaan. Apabila hujan turun, saya nampak ramai pelumba terjatuh dan saya berfikir sama ada saya perlu memasuki pit dan menukar tayar.

"Situasinya adalah 50-50 tetapi apabila saya melihat ke langit, saya berfikir keadaan cuaca akan bertambah baik dan litar kembali kering. Jadi saya teruskan perlumbaan dan menyedari saya sudah berada di kelompok depan.

"Saya sebenarnya meletakkan lebih fokus sama ada adakah keadaan tarmac berbanding posisi saya di perlumbaan. Menakjubkan untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima dan saya mengucapkan tahniah kepada Tarran atas apa yang dilakukannya. Ini adalah kemenangan pertama pasukan jadi saya fikir semua orang boleh pergi bercuti dengan gembira."

Sebagai rekod, kali terakhir Honda memenangi perlumbaan WorldSSP atau Supersports adalah pada tahun 2016 menerusi Kyle Smith di Qatar.

Perlumbaan WSBK akan mengharungi rehat musim panas sebelum menyambung semula aksi di Magny-Cours, Perancis yang dijadual pada 8 hingga 10 September depan.