PETRONAS Sahkan Tiada Perbincangan F1 Kembali Ke Malaysia

TERKINI

2/1/20241 min read

TULAR, baru-baru ini perkembangan membabitkan perlumbaan berprestij, Formula Satu (F1) berkemungkinan kembali ke Malaysia pada tahun 2026 yang dilaporkan beberapa media tempatan dan antarabangsa.

Terkesan dengan laporan berkenaan, syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas) tampil mengeluarkan kenyataan media ringkas bagi menafikannya.

Berikut adalah kenyataan media berkenaan:

"Petronas merujuk kepada laporan media yang disiarkan pada 31 Januari 2024 berkenaan penganjuran semula Formula Satu (F1) di Sepang Malaysia, pada 2026.

"Kami ingin mengesahkan bahawa tiada sebarang perbincangan mengenai penganjuran semula sukan itu di Litar Sepang Antarabangsa Petronas."

Laporan mengenai penganjuran semula F1 di Malaysia hangat selepas sebuah portal antarabangsa mendakwa Petronas merancang untuk membawa kembali perlumbaan elit empat roda itu kembali ke Petronas SIC pada tahun 2026.

Maklumat berkenaan didakwa diperoleh daripada satu menyuarat yang dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif serta Presiden, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dan didedahkan oleh sumber.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika ditanya mengenai soalan sama ada Malaysia berminat menganjurkan kembali F1 pada tahun lalu menyatakan kerajaan tidak merancang melakukannya kerana kosnya amat besar.