PETRONAS Senarai Kaito Toba, KIP Pelumba 'Wildcard' GP Malaysia 2024?

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/28/20241 min read

ADAKAH pelumba kelahiran Jepun, Kaito Toba mengisi salah satu daripada dua slot 'wildcard' Grand Prix (GP) Malaysia 2024 yang dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS, minggu ini?

Sekalipun belum ada kenyataan rasmi mengenainya termasuk daripada syarikat petroleum negara itu, ada 'bayangan' mengenai perkara itu yang diperoleh berpandukan kepada video 'teaser' yang ditayangkan oleh pasukan PETRONAS MIE Racing Honda di laman media sosial rasminya, hari ini.

Dan selain daripada Toba, turut berkemungkinan mengisi slot itu adalah pelumba negara, Khairul Idham Pawi atau lebih dikenali KIP.

Daripada video 'usik' yang disiarkan, dapat dilihat dua individu yang memakai seragam pasukan PETRONAS MIE Racing Honda dengan dua corak helmet yang berbeza.

Menariknya, kedua-dua corak helmet termasuk jenama yang ditayangkan dalam video berkenaan jelas milik Toba dan KIP.

"Ribut bakal melanda. Adakah anda bersedia untuk itu? Kami mempunyai beberapa berita menarik untuk diumumkan esok. Kiran detik bagi Grand Prix PETRONAS Malaysia 2024 bermula sekarang!," tulis pasukan itu.

Seperti diketahui, Toba dan KIP beraksi di Kejuaraan Superbike Dunia dalam kelas WorldSSP musim ini bersama pasukan yang mendapat tajaan PETRONAS itu.

Sekalipun belum diumumkan secara rasmi, kedua-dua pelumba akan beraksi dalam kelas Moto2.

Pada tahun lalu, PETRONAS turut mengumumkan penyertaan mereka di GP Malaysia di saat akhir namun kedua-dua slot 'wildcard' Moto2 diisi pelumba tempatan menerusi Azroy Hakeem Anuar dan Helmi Azman serta berlumba menggunakan lencana PETRONAS MIE Racing RW.

Justeru, tindakan PETRONAS untuk menyenaraikan Toba boleh dilihat agak pelik atau bakal mencetus kontroversi tatkala slot berkenaan tampak lebih baik diberikan kepada pelumba Malaysia yang diketahui sememangnya tidak ketandusan pelumba berkualiti.