PETRONAS SIC Bukan 'Punca'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/6/20251 min read


TIGA pelumba, termasuk juara dunia MotoGP 2024, Jorge Martin berdepan kemalangan teruk pada hari pembukaan ujian pra-musim MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS, semalam - situasi yang mencetus persoalan adakah permukaan litar kebanggaan negara itu berada dalam keadaan terbaik.
Tampil menjelaskan perkara berkenaan, bos PETRONAS SIC, Azhan Shafriman Hanif menegaskan tiada masalah membabitkan kondisi litar berkenaan kerana ia sentiasa memenuhi garis panduan keselamatan yang ditetapkan pihak bertanggungjawab.
Malah, dia langsung tidak dapat melihat perkara itu sebagai 'punca' malah pihaknya tidak mendapat sebarang komen negatif mengenai status permukaan litar daripada mana-mana pasukan setakat ini.
Dan ia turut dibuktikan dengan tiada masalah berlaku sepanjang tiga hari sesi ujian 'Shakedown' yang berlangsung beberapa hari lebih awal.
Selain Martin yanng mengalami kecederaan patah tulang, turut berdepan kecederaan serius adalah pelumba Trackhouse Aprilia, Raul Fernandez dan pelumba VR46 Ducati, Fabio Di Giannantonio.
Shafriman berkata, pihaknya sentiasa berusaha untuk memastikan setiap aspek termasuk permukaan menjalani pemeriksaan dengan keselamatan pelumba adalah keutamaan.
Katanya, sebagai salah satu daripada venue perlumbaan, PETRONAS SIC terikat dengan standard keselamatan yang ditetapkan FIM (Persekutuan Motosikal Antarabangsa).
Sebagai info, kali terakhir PETRONAS SIC menjalani proses penurapan semula secara penuh adalah pada 2016 dan pada 2013, ia menjalani proses berkenaan tetapi di beberapa sektor.
