PETRONAS Sprinta, DOCM Kini Rakan Strategik!

TERKINI

2/22/20251 min read

PETRONAS Sprinta kini menjadi rakan strategik kepada Ducati Official Club Malaysia (DOCM) dengan kerjasama berkenaan diumumkan semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-8 kelab itu, Sabtu lalu.

Menurut PETRONAS Sprinta, kerjasama yang menarik itu akan mengukuhkan kedudukan DOCM yang ditubuhkan pada 2016 sebagai antara komuniti Ducati terbesar bukan saja di Malaysia, malah Asia.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PETRONAS Lubricants Marketing Malaysia (PLMM), Zameer Zahur Hussain berkata pihaknya teruja dengan kerjasama berkenaan yang menyaksikan syarikat itu akan terbabit dengan pelbagai program DOCM pada 2025.

"Matlamat kami adalah untuk meningkatkan kehadiran jenama kami dalam komuniti dua roda tempatan dan menunjukkan kualiti unggul produk PETRONAS Sprinta," kata Zameer.

"Melalui kerjasama ini, kami berhasrat untuk menyokong komuniti Ducati sambil memperkukuhkan penembusan produk buatan Malaysia kami di pasaran domestik."

Presiden DOCM, Datuk Seri Nazir Hussin Akhtar Hussin berbangga yang DOCM terus berkembang sebagai komuniti penunggang Ducati yang unggul di Malaysia dan ia adalah hasil sokongan tidak berbelah bahagi daripada ahli dan rakan kongsinya.

"Kami komited untuk terus membangunkan kelab ini, memperkukuh semangat kekeluargaan, serta mempromosikan pengalaman menunggang yang selamat dan mengujakan untuk semua peminat Ducati," kata Nazir.

Turut hadir pada AGM berkenaan adalah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah sebagai tetamu terhormat.

Berlangsung penuh meriah di sebuah hotel terkemuka di Sepang, perjumpaan kali ini berjaya menghimpunkan sejumlah 301 buah motosikal Ducati daripada pelbagai model.

Sebagai info, ahli DOCM kini menjangkau sekitar 1,600 individu yang bernaung di bawah 13 'Chapter' yang mewakili kawasan dan model motosikal.

DOCM dalam pada itu turut merancang untuk menganjurkan lebih banyak acara eksklusif, konvoi dan kerjasama antarabangsa bagi meningkatkan kehadirannya diperingkat global.