PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing Tutup Tirai Cub Prix 2023 Dengan Kejayaan 1-2

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/26/20232 min read

PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing melengkapkan kempen gemilang di Kejuaraan Petronas Malaysia Cub Prix 2023 dengan meraih kemenangan 1-2 pada perlumbaan penutup tirai kelas elit CP150 di Pulau Pinang, hari ini.

Dalam aksi Pusingan 10 di Stadium Batu Kawan, kemenangan berjaya menjadi milik pelumba yang sudah pun mengesahkan gelaran keseluruhan CP150 lebih awal, Md Akid Aziz.

Dan lebih menarik, rakan sepasukannya Ahmad Afif Amran turut menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua sekaligus mengesahkan gelaran naib juara keseluruhan.

Melengkapkan kedudukan podium adalah Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Estemo sekaligus terpaksa berpuas hati di kedudukan ketiga keseluruhan.

"Ini musim yang sangat bagus untuk saya. Saya ingin ucapkan terima kasih kepada pasukan dan krew serta ahli keluarga saya untuk dorongan dan persediaan sepanjang musim ini.

"Tahun ini memang sempurna bagi saya. Tidak pernah saya mendapat 9 kali podium. Maka, memang suatu pencapaian yang sangat memuaskan bagi saya. Saya juga amat bersyukur dengan keputusan dan pencapaian saya selama ini," kata Akid.

Selain kemenangan Akid, pasukannya Petronas Sprinta Yamaha - CKJ Racing dinobatkan juara keseluruhan kategori pasukan mengecewakan pasukan Petronas Sprinta Maju Motor dan Honda Yuzy Estremo ketiga.

Sementara itu, pasukan Jetron Yamaha YYPang Racing turut melengkapkan kempen cemerlang musim ini apabila merangkul gelaran keseluruhan kelas CP125 dengan pelumbanya, Md Fareez Afeez Abd Rahman muncul pemenang di Batu Kawan.

Selain gelaran keseluruhan kategori pasukan, pelumbanya Md Khairi Ashraf turut dinobatkan gelaran keseluruhan selepas mengumpul 167 mata diikuti rakan sepasukannya, Md Shafiq Ezzariq kedua (150 mata).

Pelumba OneXOX TKKR Racing, Md Hafiza Rofa ketiga keseluruhan.

Selain Fareez dan Shafiq yang meraih kemenangan 1-2, melengkapkan kedudukan podium adalah pelumba pasukan Castrol Power1 Ultimate Honda Racing, Md Haziq Hamdan.

Sementara itu, Honda merangkul gelaran keseluruhan kelas Wira KBS menerusi pelumba pasukan Bad Lab Honda KC Racing, Md Farish Iqmal yang turut cemerlang memenangi perlumbaan terakhir 2023.

Mengikutinya di podium adalah pelumba Yamaha Estremo 27 Racing, Ahmad Iqram Danish Ahmad Ghazali dan melengkapkan podium adalah Md Akif Abdullah juga dari pasukan Bad Lab Honda KC Racing.

Berikut adalah kedudukan Podium Perlumbaan Pusingan 10 Cub Prix 2023 Batu Kawan

CP150

1. Md Akid Aziz, PETRONAS SPRINTA YAMAHA - CKJ RACING, 16:52.101

2. Ahmad Afif Amran, PETRONAS SPRINTA YAMAHA - CKJ RACING, 16:52.290

3. Azroy Hakeem Anuar, HONDA YUZY ESTREMO TEAM, 16:59.069

CP125

1. Md Fareez Afeez Abd Rahman, JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM 13:34.564

2. Md Shafiq Ezzariq Saiful Nizam, JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM, 13:35.058

3. Md Haziq Md Hamdan, CASTROL POWER1 ULTIMATE HONDA RACING TEAM, 13:38.316

Wira KBS

1. Md Farish Iqmal Khayrul Elyas, BAD LAB HONDA KC RACING, 8:22.650

2. Ahmad Iqram Danish Ahmad Ghazali, YAMAHA ESTREMO 27 RACING, 8:23.028

3. Md Akif Abdullah, BAD LAB HONDA KC RACING, 8:24.430