BOS Yamaha Racing, Lin Jarvis mendedahkan keputusan untuk membawa Fabio Quartararo ke pentas MotoGP bersama Yamaha dilakukan oleh bekas pasukan satelitnya, PETRONAS Yamaha SRT.
Pelumba Perancis, Quartararo menyertai PETRONAS Yamaha SRT pada musim 2019 dan selepas menghabiskan dua musim bersama pasukan itu, dia dinaikkan pangkat beraksi bersama pasukan 'kilang' Monster Yamaha dan merangkul gelaran dunia di MotoGP.
Pada musim keduanya, Quartararo terpaksa berpuas hati menamatkan saingan di tempat kedua berikutan penurunan prestasi yang berlaku kepada jentera Yamaha M1 serta kebangkitan Ducati.
Memetik laporan GPOne, Jarvis mendedahkan PETRONAS Yamaha SRT membawa Quartararo ke Yamaha Racing dan pengeluar Jepun itu mengambil risiko untuk mendapatkan khidmatnya.
"Keputusan untuk membawa masuk Fabio ke pasukan PETRONAS (Yamaha SRT) adalah keputusan yang dibuat sepenuhnya oleh pasukan itu ketika itu," kata Jarvis. "Pergerakan yang berani, ya, tetapi tiada apa yang mereka rugi.
"Dia (Quartararo) mengalahkan (Franco) Morbidelli pada tahun pertamanya (di PETRONAS SRT) jadi kami berbincang untuk membawanya ke pasukan utama.
"Kehadirannya bersama pasukan utama menyaksikan kami terpaksa memindahkan Valentino (Rossi) sekali lagi, kerana dia sudah berada di penghujung kariernya.
"Ia adalah masalah yang mudah diselesaikan, tetapi saya fikir keputusan itu berbaloi pada akhirnya kerana sejurus Fabio bersama pasukan utama, dia melakukan kejutan dan menjadi nombor satu pada tahun pertamanya.
"Ia tempoh yang sangat menarik, dengan keseimbangan yang tepat, selari dan keputusan yang dibuat dengan penuh pertimbangan."
Jarvis yang pernah menjulang gelaran dunia bersama Rossi dan Lorenzo serta Quartararo turut menyatakan yang hasratnya adalah untuk memperoleh 10 gelaran dunia MotoGP.
"Saya berharap yang dalam karier saya, yang saya tidak tahu akan berakhir lama lagi atau tidak, saya mahu menang sekurang-kurangnya dua lagi gelaran bersama Fabio.
"Ia adalah impian saya, cuba untuk mendapatkan 10 gelaran. Malangnya pada pertengahan 2022, kami dengan pantas mendapati yang Ducati berkembang dengan pantas dan pembangunan serta prestasi terlalu laju untuk kami."