PEUGEOT Motocycles Sah Masuk Malaysia, Kerjasama Aveta Motorcycle

Seperti pernah dilaporkan sebelum ini, jenama motosikal asal Perancis, Peugeot Motocycles mengumumkan kehadirannya di pasaran Malaysia menerusi kerjasama strategik dengan syarikat tempatan Aveta Motor Malaysia

TERKINI

12/2/20251 min read

JENAMA motosikal asal Perancis, Peugeot Motocycles mengumumkan kehadirannya di pasaran Malaysia menerusi kerjasama strategik dengan syarikat tempatan Aveta Motor Malaysia.

Perkembangan menarik itu mengesahkan laporan yang pernah kami buat sebelum ini dengan perjanjian menyaksikan Aveta menjadi pengedar eksklusif rasmi Peugeot Motocycles, jenama motosikal Eropah yang memiliki legasi lebih satu abad.

Ditubuhkan sejak 1898, Peugeot Motocycles membawa warisan kejuruteraan dan reka bentuk Perancis yang terkenal berteraskan falsafah ‘Allure’ yang menekankan gaya, inovasi berjiwa serta ekosistem mobiliti moden.

Sehingga kini, Peugeot Motocycles beroperasi di lebih 3,000 lokasi jualan di seluruh dunia termasuk 250 pengedar di Perancis.

Antara model yang menjadi tumpuan ialah Peugeot Metropolis, XP400 dan Pulsion yang dihasilkan di fasiliti bertaraf dunia di Perancis, selain skuter moden seperti Django Classic dan Speedfight yang diproduksi di China dan Vietnam.

Dengan 67 peratus jualan daripada pasaran antarabangsa, model-model daripada Peugeot Motocycles dikatakan dapat memenuhi keperluan penunggang yang mengutamakan prestasi, keselesaan dan reka bentuk bercirikan Eropah.

Peugeot Motocycles menjelaskan, rangkaian pengedar dan servis yang meluas di seluruh negara, selain program pelanggan seperti Aveta Care on Wheels menjadi faktor utama mereka memilih Aveta sebagai rakan strategik di Malaysia.

Kredibiliti Aveta turut diperakui apabila syarikat itu meraih pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records baru-baru ini, sekali gus membuktikan kemampuan mereka dalam menyokong jenama antarabangsa.

Menurut Aveta, kerjasama ini dijangka melonjakkan kedudukan syarikat itu ke tahap lebih tinggi dalam industri automotif negara, selain memperluas pilihan mobiliti premium kepada pengguna tempatan.