PEUGEOT Speedfight 4+ GP Edition Dilancarkan, Terhad 50 Unit, RM 10,388!

Turut menarik, penghasilkan Peugeot Speedfight 4+ GP Edition turut menandakan kerjasama Motul sebagai rakan pelincir rasmi Peugeot Motocycles Malaysia, sekali gus membolehkan semua pengedar sah jenama berkenaan membekalkan produk pelincir Motul untuk servis penyelenggaraan pelanggan di seluruh negara

TERKINI

11/9/20261 min read

PEUGEOT Motocycles Malaysia dengan kerjasama jenama pelincir terkemuka, Motul melancarkan skuter edisi terhad, Peugeot Speedfight 4+ GP Edition (2026) yang ditawarkan sejumlah 50 unit sahaja bagi pasaran tempatan pada harga asas RM 10,388.

Dihasilkan secara eksklusif untuk pasaran Malaysia sempena perlumbaan MotoGP Grand Prix Malaysia 2026, Peugeot Speedfight 4+ GP Edition (2026) menggabungkan karakter sporty dengan penampilan berinspirasikan perlumbaan untuk penunggang harian.

Turut menarik, ia turut menandakan kerjasama Motul sebagai rakan pelincir rasmi Peugeot Motocycles Malaysia, sekali gus membolehkan semua pengedar sah jenama berkenaan membekalkan produk pelincir Motul untuk servis penyelenggaraan pelanggan di seluruh negara.

Menerusi tawaran istimewa itu, kesemua 50 unit Peugeot Speedfight 4+ GP Edition didatangkan lengkap bersama set minyak pelincir Motul yang merangkumi Motul Scooter Power LE MB 5W-40 bagi enjin serta Motul Scooter Gear Plus 80W-90 untuk gear transmisi.

Ulas spesifikasi teknikal, skuter ini dijana oleh enjin SmartMotion 150 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Fi yang mematuhi piawaian emisi Euro 4 bersama transmisi auto CVT.

Kuasa dihamburkan sekitar 12.5 Hp pada 7,500 rpm dan tork 13.2 Nm pada 5,500 rpm.

Informasik menarik lain yang dibawa oleh Peugeot Speedfight 4+ GP Edition adalah ia dilengkapi tangki bahan api berkapasiti 7.4 liter dengan kadar penggunaan bahan api sehingga 2.7 liter bagi setiap 100 kilometer (km), sistem brek dengan ABS 2 Saluran, rim aloi ringan serta tayar bersaiz 130/60-13 di bahagian hadapan dan belakang.

Dari sudut dimensi, Peugeot Speedfight 4+ GP Edition yang memiliki berat 125 kilogram hadir dengan dimensi 1,908 milimeter (mm) panjang, 715 mm lebar dan 1,135 mm tinggi bersama jarak roda 1,319 mm serta kelegaan tanah setinggi 136 mm.