PILIHAN Warna Baharu Honda Gold Wing Tour (2023) Di Malaysia, Harga RM 210,888!

TERKINI

11/13/20232 min read

PENGEDAR rasmi jenama motosikal Honda di Malaysia, Boon Siew Honda (BSH) mengumumkan pilihan warna baharu untuk motosikal aras tingginya, Honda Gold Wing Tour (2023).

Dijual pada harga RM 210,888 (asas), pilihan warna terbaharu yang diperkenalkan pasti diminati peminat 'Premium' iaitu Graphite Black.

Dan kepada yang menyaksikan Grand Prix (GP) Malaysia 2023 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang berakhir semalam, pilihan warna terbaharu itu turut dipamerkan di reruai Honda Motor Malaysia.

Sebagai info, generasi terbaharu Honda Gold Wing Tour diperkenalkan pada 2019 dengan pelbagai peningkatan kemas kini termasuk suspensi, trenkuasa yang menyaksikan pengurangan berat yang radikal.

Tiba sebagai model aras tinggi, Honda Gold Wing Tour (2023) melambangkan kecemerlangan Honda dalam teknologi jentera dua roda, mencipta reputasi yang didakwa tiada tandingan dari sudut kemewahan, kualiti dan keselesaan.

Mengulas trenkuasa, motosikal ini dipadankan dengan enjin bersesaran 1,833 cc, 6 Silinder, 24 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC.

Terkenal dengan pergerakan tunggangan yang lancar, kuasa yang dihamburkan adalah sebesar 93 kW pada 5,500 rpm dan tork 170 Nm pada 4,500 rpm.

Sistem transmisi menggunakan teknologi Dual-clutch transmission' (DCT) 7 kelajuan lengkap dengan ciri 'up & downshifts' secara manual atau automatik selain 'gear' mengundur.

Sebagai motosikal aras tingi, Honda Gold Wing Tour (2023) yang menggunakan sistem 'Ride by-wire' terotel datang dengan mod tunggangan, Honda Selectable Torque Control (HSTC), Hill Start Assist (HAS), Kawalan Jelajah dan pelbagai lagi.

Antara yang menarik juga adalah penggunaan panel meter TFT berwarna 7 inci TFT yang memiliki sistem sambungan menerusi Android Auto dan Apple CarPlay serta Bluetooth.

Turut memiliki sistem navigasi, Honda Gold Wing Tour (2023) seperti motosikal lain dalam segmennya lengkap dengan sistem audio yang berkualiti.

Brek cakera kembar 320 mm (depan) dan cakera tunggal 316 mm (belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS). Set roda pula adalah 130/70-R18 (depan) dan 200/55-R16 (belakang).

Terkenal sebagai model yang 'syok' menempuh perjelajahan jarak jauh, Honda Gold Wing Tour (2023) turut memiliki kapasiti simpanan yang besar iaitu 'Top box' 61 liter yang boleh memuatkan 2 helmet 'Full face' dan kotak simpanan sisi 'Panniers' masing-masing berkapasiti 60 liter.

Ciri-ciri menarik lain termasuklah visor angin boleh laras elektrik, sistem lampu LED penuh, pelana boleh laras elektrik, kapasiti tangki bahan api 21 liter dan berat 386 kg.

Kepada yang berminat, Honda Gold Wing Tour (2023) sudah boleh didapati di cawangan pengedar Honda Big Wing seluruh negara dengan setiap pembelian ditawarkan jaminan pengilang 20,000 km perjalanan atau 2 tahun (Yang mana tiba dahulu).