PLATFORM Komuniti MForce Experience Club (MEC) Diperkenalkan, Macam-Macam Ada!

Inisiatif terbaharu itu diwujudkan sebagai hab sehenti bagi menghimpunkan pengguna serta kelab motosikal jenama MForce seluruh Malaysia di bawah satu bumbung yang diiktiraf secara rasmi

TERKINI

3/6/20261 min read

PENGELUAR dan pengedar motosikal terkemuka tempatan, MForce Bike Holdings Sdn Bhd (MForce) mengorak langkah proaktif dengan melancarkan MForce Experience Club (MEC), sebuah platform digital komuniti serba baharu khusus buat pemilik motosikal di bawah naungannya.

Inisiatif terbaharu itu diwujudkan sebagai hab sehenti bagi menghimpunkan pengguna serta kelab motosikal jenama MForce seluruh Malaysia di bawah satu bumbung yang diiktiraf secara rasmi.

MForce dalam satu kenyataan berkata, penubuhan MEC bertujuan memperkukuh hubungan antara jenama dan pengguna, selain menjanjikan lonjakan pengalaman pemilikan motosikal menerusi pelbagai program eksklusif bertaraf nasional.

Melalui platform ini, pemilik motosikal MForce berpeluang menjadi sebahagian daripada sebuah komuniti yang tersusun dan diiktiraf. Ia sekali gus membuka ruang pendedahan yang lebih luas untuk pembabitan dalam pelbagai aktiviti rasmi anjuran syarikat itu.

Lebih menarik, keahlian MEC bukan sekadar platform pendaftaran biasa, sebaliknya menawarkan pelbagai keistimewaan 'VIP' kepada ahlinya.

Ini termasuk peluang eksklusif menyertai sesi pratonton model motosikal terbaharu sebelum dilancarkan kepada umum, akses kepada promosi terhad, serta peluang bersemuka dalam sesi dialog bersama wakil pengurusan MForce.

Dalam usaha merancakkan lagi aktiviti permotoran, pihak MForce turut merangka lima program berskala besar di bawah inisiatif MEC.

Paling mencuri tumpuan pastinya penganjuran 'Malaysia Bike Week', iaitu acara tahunan mega yang dijangka menghimpunkan ribuan pemilik dari seluruh negara menerusi acara konvoi, pameran motosikal dan pelancaran model baharu.

Selain itu, ahli MEC juga berpeluang merasai pengalaman tunggangan berprestasi tinggi dalam persekitaran selamat menerusi program 'Track Day Experience', selain siri penjelajahan 'Nationwide Ride Series' yang akan dianjurkan mengikut zon merangkumi wilayah Utara, Selatan, Pantai Timur dan Barat.

Bagi memastikan aspek keselamatan dan tanggungjawab sosial tidak diabaikan, program seperti Bengkel Tunggangan Selamat (Safety Riding Workshop) bersama jurulatih bertauliah dan program konvoi amal (Charity Ride & CSR) turut dimasukkan dalam kalendar MEC.

Menurut MForce, pendaftaran kelab di bawah MEC secara automatik akan memberikan mereka status 'komuniti rasmi' syarikat.

Pemilik motosikal yang berminat untuk menyertai kelab eksklusif ini boleh membuat permohonan melalui kelab motosikal masing-masing. Setiap permohonan akan dinilai dan disahkan oleh pihak pengurusan MEC bagi memastikan komuniti yang dibina menitikberatkan aspek keselamatan, disiplin, dan profesionalisme.

Untuk maklumat lanjut mengenai pendaftaran dan program yang ditawarkan, orang ramai boleh melayari pautan rasmi di https://mforceclub.my/.