PODIUM Berganda Di Estoril, Qabil Irfan Intai Kejayaan Di Barcelona

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/8/20241 min read

DUA podium di Estoril, Portugal akan dijadikan pemangkin semangat buat pelumba muda negara, Qabil Irfan Azlan menuju Pusingan 4 perlumbaan Moto4 ESBK 2024 yang dijadual di Barcelona, Sepanyol hujung bulan ini.

Pada aksi Pusingan 3 di Portugal, Qabil yang beraksi bersama pasukan Frando VHC Team Liqui Moly berjaya menamatkan Perlumbaan 1 di kedudukan ke-3.

Dan keputusan itu diperbaiki pada Perlumbaan 2 selepas pelumba kelahiran Sepanyol itu melepasi garisan penamat di tempat kedua yang menyaksikan Jalur Gemilang berkibar megah di Portugal.

Memulakan perlumbaan di petak ke-3, Qabil terutama pada Perlumbaan 2 berjaya mendahului perlumbaan malah berjaya mencipta jurang lebih daripada 1 saat.

Tetapi laluan lurus menuju garisan penamat di Estoril menyaksikan Qabil kembali dikejar perlumba di belakang termasuk di pusingan terakhir.

"Perlumbaan 1, agak sengit dan begitu juga di Perlumbaan kedua. Di Perlumbaan 2, saya sempat mendahului perlumbaan sebentar dan jurang dalam 1 saat lebih," kata Qabil.

"Tetapi mereka berjaya kejar saya di akhir perlumbaan."

Untuk Qabil, ia adalah kejadian podium sulungnya di pentas Moto4 musim ini.

"Saya ingin ucapkan terima kasih kepada SIC, KBS, Terengganu Inc, RCB, ZK Racing, dan pasukan Frando kerana banyak membantu saya.

"Jangan lupa doakan kejayaan saya di Pusingan ke-4 nanti di Catalunya, Sepanyol," kata pelumba berusia 12 tahun itu.