PODIUM Bukan Sesuatu Yang Mustahil - Jorge Martin

Jorge Martin yang juga juara dunia MotoGP 2024 dan kempen pramusimnya terhad kepada hanya dua hari ujian akibat pembedahan susulan kecederaan dialaminya tahun lalu menilai prestasinya di perlumbaan GP Thailand 2026 di Litar Buriram sebagai '9 per 10'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/8/20261 min read

DOMINASI Marco Bezzecchi pada perlumbaan MotoGP kempen pembukaan Grand Prix (GP) Thailand 2026 mungkin mencuri tumpuan utama, namun rakan sepasukannya di Aprilia, Jorge Martin turut mencipta kejayaan apabila berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-4.

Bekas juara dunia itu, yang kempen pramusimnya terhad kepada hanya dua hari ujian akibat pembedahan susulan kecederaan dialaminya tahun lalu menilai prestasinya itu di Litar Buriram sebagai '9 per 10'.

Antara detik yang paling mencuri tumpuan pada perlumbaan itu adalah persaingan sengit Martin dengan Marc Marquez dan Pedro Acosta, sebelum dia melintasi garisan penamat dengan hanya perbezaan tiga saat di belakang pelumba Trackhouse Aprilia, Raul Fernandez yang berada di tempat ke-3.

Malah, apa yang lebih melegakan, selepas kempen 2025 yang musnah akibat rentetan kecederaan, Martin buat pertama kalinya mengakui dia mula berasa 'seperti dirinya yang dahulu' ketika menunggang jentera Aprilia.

"Saya pastinya perlu terus memperbaiki pelarasan jentera untuk mengejar Marco dan pelumba lain. Tetapi, sebagai contoh, Raul sebenarnya tidak terlalu jauh daripada saya, jadi untuk meraih podium itu bukan sesuatu yang mustahil," kata Martin.

"Saya boleh menilai pencapaian ini mungkin 9 per 10 kerana saya mampu berada di posisi itu, tetapi saya sangat gembira dapat menamatkan perlumbaan. Itu adalah sasaran utama saya, dan untuk terus mengorak langkah ke hadapan."

Martin tampil pada pusingan pembukaan musim ini dengan pelbagai tanda tanya, apatah lagi dia dilihat bergelut untuk menghabiskan simulasi Perlumbaan Sprint pada hujung minggu sebelumnya.

"Sebenarnya tahap (kecergasan penuh) saya jauh lebih baik berbanding apa yang saya jangkakan," katanya.

"Kini ia lebih kepada usaha memahami jentera. Setiap pusingan, saya semakin serasi dengan jentera ini. Saya dapat rasakan di mana kelemahan saya dan di bahagian mana yang perlu terus diperbaiki.

"Secara keseluruhan, saya bekerja sangat keras pada hujung minggu ini untuk memahami perkara-perkara kecil ini demi memastikan kelangsungan kemajuan prestasi saya."