'PODIUM Di Barcelona Hadiah Terbaik Buat Gresini Ducati'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/18/20241 min read

MARC Marquez melengkapkan kempen MotoGP 2024 di kedudukan ketiga carta kejuaraan dunia dengan perlumbaan terakhir di Barcelono ditamatkan di kedudukan kedua di belakang Francesco Bagnaia.

Dengan perlumbaan di Barcelona adalah penampilan terakhir juara dunia lapan kali itu bersama Gresini Ducati, Marquez berkata kedudukan tempat kedua yang diraihnya sebagai 'hadiah' bermakna buat pasukannya.

Marquez sejurus kempen MotoGP musim ini menutup tirainya akan 'naik pangkat' bergelar pelumba pasukan 'kilang' dan bergandingan dengan Bagnaia musim depan.

"Kami melakukan yang terbaik, seperti kami bersaing untuk merebut kejuaraan dunia," kata Marquez.

"Untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan podium adalah cara terbaik untuk mengucapkan terima kasih kepada keluarga Gresini yang sentiasa mengalu-alukan saya pada tahun ini."

Marquez yang berada di podium bersama juara dunia MotoGP 2024, Jorge Martin turut mengucapkan ucapan tahniah kepada rakan senegaranya itu.

"Tahniah kepada juara dunia. Untuknya (Martin) ia adalah musim yang menakjubkan, tetapi kami juga melakukan yang terbaik."

Mengulas mengenai perpindahannya ke Ducati Lenovo, Marquez berkata ia sesuatu yang mengujakan.

"Saya mahu menjadi profesional sejak hari pertama untuk bertarung dengan Bagnaia yang juga menjadi rujukan kami," kata Marquez.

"Saya perlu mengadaptasi dengan pasukan, jentera, perubahan. Saya perlu bersabar. Bermula daripada situ, saya akan perlahan-lahan menyesuaikan diri.

"Sasaran saya adalah untuk bekerja keras dan melakukan segala-galanya untuk berada di atas. Kami perlu memikirkan jalan di mana kami berada dan di mana pelumba Ducati yang lain, di mana KTM dan Aprilia.

"Kamu perlu memberikan 100 peratus dalam setiap perlumban," katanya memetik laporan Sky.