PODIUM Di Mandalika Terbaik Tahun Ini - Quartararo

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/18/20231 min read

JAGOAN Yamaha, Fabio Quartararo melabel kejayaan podium yang diperolehnya ketika perlumbaan MotoGP Grand Prix Indonesia di Mandalika minggu lalu sebagai 'Terbaik tahun ini'.

Kejayaan podium dengan menamatkan perlumbaan di tangga ketiga di Mandalika adalah yang ketiga buat Yamaha dan Quartararo musim ini selepas 15 pusingan berlangsung.

Yamaha ketika ini diakui bergelut dengan prestasi yang menyaksikan pasukan itu ketinggalan cukup jauh berbanding pendahulu Ducati dengan Quartararo menghuni tangga ke-10 keseluruhan.

Dan sekalipun turut mendapat keputusan sama di India dan Austin, pelumba kelahiran Perancis itu menyifatkan ia sebagai istimewa kerana dia lebih laju berbanding Francesco Bagnaia (Ducati) dan Maverick Vinales (Aprilia) di penghujung perlumbaan dan hanya dibezakan setengah saat di belakang pemenang.

"Ini adalah podium terbaik tahun ini," kata Quartararo yang juga juara dunia MotoGP 2021. “Di India, saya ketinggalan 9 saat di belakang Bezzecchi dan di Austin, saya berada di podium namun agak jauh berbanding pemenang.

"Hari ini, saya benar-benar menghambat dua pelumba di depan dan benar-benar bersaing dengan mereka berikutan kelajuan saya.

"Bukan disebabkan apa yang terjadi ketika perlumbaan. Ia adalah podium terbaik tahun ini tetapi Australia adalah berbeza. Tahun lalu, kami banyak bergelut dan ia adalah litar di mana kamu perlu benar-benar menjaga tayar. Ia akan menjadi sesuatu yang rumit," kata pelumba kelahiran Perancis itu.

Sebagai info, perlumbaan pusingan ke-16 dijadual di Australia, hujung minggu ini.