PODIUM Jadi Buruan Hakim Danish, Danial Syahmi Di Estoril

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/2/20241 min read

NADA jauh lebih yakin dilaungkan dua pelumba negara, Danial Syahmi Shahril dan Hakim Danish Ramli menuju Pusingan 2 Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) 2024 di Estoril, Portugal, hujung minggu ini.

Pada Pusingan 1 di Misano, Itali dua minggu lalu, Danial Syahmi yang beraksi bersama pasukan Junior Talent Team tak berjaya menamatkan Perlumbaan 1 susulan kemalangan dan ke-10 pada Perlumbaan 2.

Hakim Danish dalam pada itu menamatkan Perlumbaan 1 di kedudukan ke-9 (dikenakan penalti 1 kedudukan) sebelum melepasi garisan penamat di kedudukan ke-15 pada Perlumbaan 2.

Sedar ia bukan keputusan yang diharapkan, kedua-duanya mahu menjadikan Estoril sebagai medan kebangkitan dan berharap kejayaan podium mampu dicapai.

"Ini adalah salah satu litar kegemaran saya. Pada tahun lepas saya tidak dapat berlumba disini disebabkan oleh kecederaan di kaki saya," kata Danial Syahmi yang beraksi menggunakan jentera Honda.

"Ini adalah tahun ketiga saya di kategori ini, jadi saya akan bagi yang terbaik saya untuk misi mencari podium pertama saya di JrGP," kata pelumba kelahiran Pulau Pinang itu.

Beraksi buat minggu ketiga berturut-turut, Hakim Danish yang meraih podium di kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup minggu lalu dan beraksi bersama pasukan SIC Racing - MSi mehu memperbaiki kualiti tunggangannya sekaligus meraih podium.

"Harapan saya adalah untuk mendapatkan podium dan bersaing dengan kelompok hadapan di Estoril," kata pelumba kelahiran Terengganu itu.

"Untuk minggu ini, saya akan fokus dengan tunggangan saya, bertambah baik sesi demi sesi dan tidak gopoh. Saya akan buat sehabis baik," katanya.

Ketika ini, Hakim Danish mengisi tangga ke-12 kedudukan keseluruhan carta pelumba selepas mengumpul 8 mata manakala Danial Syahmi menghuni tangga ke-15 dengan enam mata.