POL Espargaro Tak Percaya Garaj Ducati Lenovo Akan 'Tenang'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/6/20251 min read

MARC Marquez sepanjang kariernya di MotoGP sudah mempunyai ramai rakan sepasukan berkualiti tinggi dengan dua daripadanya turut mempunyai gelaran juara dunia di MotoGP.

Untuk musim 2025, seorang lagi bekas juara dunia MotoGP akan menjadi rakan sepasukannya iaitu Francesco Bagnaia di Ducati Lenovo.

Disifatkan Ducati Corse sebagai gandingan terhebat dalam sejarah MotoGP, tetapi ramai yang menjangkakan adalah sukar untuk pengeluar Itali itu mengawal kedua-duanya.

Dan ia tampak seperti dipersetujui salah seorang bekas rakan sepasukannya ketika di Repsol Honda, Pol Espargaro dengan menyatakan kerjasama di antara Marquez dan Bagnaia akan menjadi tumpuan.

"Sudah tentu," kata Espargaro memetik laporan Crash.net. "Mustahil untuk tidak berkata tidak. Mereka berdua adalah nama yang amat besar. Mereka mempunyai banyak kemenangan, dan banyak gelaran di dalam box pasukan.

"Sudah agak lama kita tidak melihat jentera yang cukup berkuasa digandingkan dengan dua pelumba yang amat kuat.

"Seperti bola sepak, Real Madrid pada musim ini, mereka mempunyai nama-nama yang menakjubkan dalam pasukan tetapi tidak mencapai keputusan terbaik kerana kerjasama berpasukan.

"Dalam MotoGP kamu membahagikan tugas kepada dua, dan kamu juga mempunyai dua pasukan kecil di dalam pasukan.

"Satu-satunya keraguan yang saya ada? Adakah mereka akan mampu bekerjasama sebagai satu pasukan ketika mereka sedang berjuang merebut kejuaraan. Kerana sata ragu ia akan berlaku."

Selain Espargaro, Marquez pernah bergandingan dengan Dani Pedrosa, Jorge Lorenzo, Alex Marquez dan Joan Mir.

Bagnaia ketika ini dilihat sebagai pelumba utama Ducati Lenovo selepas berjaya menamatkan kemarau 15 tahun pengeluar itu untuk bergelar juara dunia, kejayaan yang tidak mampu dicapai dua legenda, Lorenzo dan Valentino Rossi.