POLIS Jamin Tiada 'Pukat' Di GP Malaysia, Tapi Jangan Cabar Undang-Undang!

TERKINITULAR

10/17/20231 min read

POLIS memberi jaminan yang tiada sekatan jalan raya atau ketika ini popular dengan perkataan 'Pukat' dilakukan ketika Grand Prix (GP) Malaysia 2023 yang dijadual bulan depan.

Bagi melancarkan perjalanan acara selain tujuan keselamatan, badan berkuasa utama dalam memelihara keamanan dan ketenteraman awam Malaysia itu akan menugaskan lebih 600 anggota termasuk 60 pegawai bagi memastikan kelancaran edisi kali ini.

Perkembangan itu diperoleh ketika sidang media taklimat trafik dan keselamatan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena penganjuran perlumbaan GP Malaysia 2023 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA, hari ini.

Ketika ditanya mengenai isu membabitkan 'Pukat', polis menyatakan pihak berkuasa itu tidak pernah melakukannya sekatan ketika penganjuran GP Malaysia sebelum ini namun menegaskan kepada pengujung yang akan tiba supaya jangan mencabar undang-undang jalan raya.

Menurut Ketua Polis Daerah KLIA ACP Imran Abd Rahman, pihaknya sudah mempersiapkan lebih 600 anggota termasuk 60 pegawai bagi tujuan keselamatan GP Malaysia 2023 termasuk pengawalan lalu lintas.

Imran menegaskan, jumlah anggota yang ditugaskan akan ditingkatkan mengikut kesesuaian dengan pengawasan akan turut membabitkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Dengan keadaan trafikcdijangka sesak dengan kehadiran lebih 100,000 pengunjung, beliau turut menyarakan agar pengunjung dapat membuat perancangan bijak untuk ke SIC nanti termasuk menggunakan pengangkutan awam.

Sementara itu, pihak SIC mengesahkan jualan tiket GP Malaysia 2023 berjalan agak perlahan ketika ini dengan jumlah peratusan yang sama (70 peratus) tiket sudah dijual.

Justeru, SIC berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan promoter MotoGP, Dorna untuk mencari jalan menggalakkan pembelian dari luar negara untuk GP Malaysia 2023.

Sebagai info, GP Malaysia 2023 akan membuka tirai pada 10 November menerusi sesi latihan bebas diikuti sesi kelayakan dan Perlumbaan Sprint pada Sabtu (11 November) diikuti perlumbaan utama pada Ahad (12 November).