POTENSI Yamaha, Honda Tarik Diri Dari MotoGP, Legenda Ini Luah Antara Sebabnya

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/28/20231 min read

LEGENDA Australia, Casey Stoner menyuarakan kebimbangan dua pasukan gergasi MotoGP, Yamaha dan Honda akan mengikuti jejak Suzuki menarik diri daripada perlumbaan elit dua roda itu.

Suzuki mencipta kejutan antara terbesar dalam sejarah MotoGP apabila menarik diri daripada perlumbaan itu pada penghujung tahun lalu.

Tindakan itu mencetus kebimbangan yang Honda dan Yamaha, yang kedua-duanya bergelut ketika ini akan membuat tindakan yang serupa.

"Saya tidak fikir yang Honda dan Yamaha perlu dipersalahkan atas situasi yang menimpa mereka," kata Stoner kepada Speedweek.

"Tetapi saya fikir ia adalah berikutan peraturan yang diubah bagi membantu pengeluar-pengeluar Eropah menerusi pengenalan komponen aerodinamik.

"Beberapa tahun lalu peraturannya adalah memutuskan untuk mengharamkan sebarang komponen bantuan aerodinamik, tetapi malangnya perancangan itu diubah.

"Itu sebabnya mengapa Suzuki meninggalkan MotoGP dan saya bimbang yang Honda dan Yamaha juga akan menarik diti kerana apa yang kita lihat sekarang bukanlah apa yang mereka komited sebelum ini,' kataya.

Bergelar juara dunia MotoGP bersama Honda dan Ducati, Stoner berkata perlumbaan MotoGP ketika ini boleh diibaratkan menonton perlumbaan Formula 1 namun menggunakan dua roda.

“Kali terakhir saya melihatnya, ia masih perlumbaan motosikal dan bukan Formula 1. Beberapa tahun lalu, saya berkata mereka perlu mengambil arah yang berbeza, tetapi kini segala-galanya berubah secara mengejut.

"Aerodinamik memerlukan banyak sumber dan ia juga antara sebab mengapa lebih sukar untuk membangunkan sesuatu lebih cepat di Jepun berbanding di Eropah, tetapi itulah yang maksud aerodinamik.

"Sukar untuk menyatakan apa yang berada dalam kepala pembuat keputusan di pengeluar-pengeluar Jepun, saya belum bercakap dengan mereka secara peribadi. Tetapi hakikatnya mereka bergelut dan mungkin mereka tidak mahu mengikuti pembangunan ini.

"Pandangan saya, sepatutnya semua 'winglet' dan sepertinya tidak perlu ada."

Kali terakhir Honda merangkul gelaran dunia pada tahun 2019 menerusi Marc Marquez diikuti Joan Mir (Suzuki) pada 2020 dan Yamaha menerusi Fabio Quartararo pada tahun 2021.

Ducati adalah penyandang juara bagi musim 2022 dan mendominasi saingan pada musim ini dengan KTM antara pencabar utama.