PPMEM Mohon Program MARiiCAS Diteruskan Untuk 2026

PPMEM menekankan program MARiiCAS yang diuruskan oleh Malaysia Automotive, Robotics and IoT Institute (MARii) sudah memberi impak positif yang signifikan kepada industri motosikal elektrik negara

TERKINI

10/13/20251 min read

PERSATUAN Penjual Motosikal Elektrik Malaysia (PPMEM) menyuarakan kebimbangan mengenai masa depan industri motosikal elektrik negara berikutan ketiadaan pengumuman rasmi mengenai penyambungan Program Rebat MARiiCAS bagi tahun 2026.

PPMEM yang mewakili pengedar, penjual dan pengusaha motosikal elektrik di seluruh Malaysia sudah pun membuat rayuan rasmi kepada Kementerian Kewangan untuk meneruskan dan menambah baik program rebat berkenaan yang bakal berakhir pada tahun 2025.

Persatuan itu menekankan MARiiCAS yang diuruskan oleh Malaysia Automotive, Robotics and IoT Institute (MARii) sudah memberi impak positif yang signifikan.

Menerusi MARiiCAS, ia berjaya merancakkan pertumbuhan pasaran motosikal elektrik di Malaysia, sekali gus meningkatkan kesedaran dan minat pengguna terhadap kenderaan mesra alam.

"Sejak pelaksanaan program ini, pasaran motosikal elektrik sudah berkembang pesat. Program MARiiCAS bukan sahaja meningkatkan kesedaran dan minat pengguna terhadap kenderaan elektrik, tetapi turut membantu mencapai matlamat kerajaan dalam mengurangkan pelepasan karbon," kata PPMEM dalam satu kenyataan.

Program MARiiCAS menawarkan rebat sehingga RM 2,400 untuk pembelian motosikal elektrik bagi warganegara Malaysia dengan pendapatan tahunan di bawah RM120,000.

Ia adalah inisiatif yang bertujuan untuk menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik di kalangan rakyat.

Begitupun, dengan program bagi tahun 2025 yang akan berakhir tidak lama lagi, ketiadaan berita mengenai kesinambungannya bagi tahun 2026 menimbulkan keresahan dalam kalangan pemain industri.

Situasi itu, menurut PPMEM, memberi kesan langsung kepada perancangan jualan, pelaburan, dan unjuran peluang pekerjaan dalam sektor ini.

Sehubungan itu, PPMEM sudah mengemukakan tiga rayuan utama kepada Menteri Kewangan iaitu:

  • Menyambung dan menambah peruntukan bagi pelaksanaan Program Rebat MARiiCAS Tahun 2026.

  • Memperluaskan kelayakan rebat kepada lebih banyak model motosikal elektrik tempatan dan import.

  • Menambah baik mekanisme tuntutan agar lebih mudah dan cepat kepada pengguna dan pengedar.

Menurut persatuan itu, penyambungan MARiiCAS bukan sahaja akan memberi manfaat kepada rakyat, tetapi juga akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju pasaran kenderaan elektrik dua roda di rantau Asia Tenggara.

Ia selari dengan sasaran kerajaan untuk mencapai neutraliti karbon menjelang tahun 2050.

Selain itu, PPMEM turut menyatakan kesediaan mereka untuk mengadakan sesi libat urus dengan pihak kerajaan bagi membincangkan cadangan penambahbaikan program MARiiCAS secara lebih terperinci.