PRAMAC Dapat 2 Jentera 'Factory' Ducati Jika Kekal

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/1/20241 min read

PRAMAC Racing, pasukan satelit Ducati di MotoGP akan kekal dibekalkan dengan dua jentera spesifikasi terkini Ducati Desmosedici jika kerjasama kedua-dua entiti itu diteruskan melangkaui musim ini.

Pramac ketika ini menjadi satu-satunya daripada tiga pasukan satelit Ducati yang memperoleh jentera spesifikasi terkini jenama Itali itu berbanding dua lagi pasukan, Gresini dan VR46.

Begitupun, situasi itu dikhabarkan akan berubah dengan Ducati hanya akan memberikan satu jentera spesifikasi terkini kepada setiap satu pasukan satelitnya selepas ini.

Dan ketika membincangkan situasi terbaharu mengenai kontrak, Pengurus Pasukan Pramac Racing, Gino Borsoi mengesahkan pasukannya akan kekal dibekalkan dengan dua jentera terbaharu pengeluar itu.

"Khabar angin di paddok ada dan akan sentiasa ada, jadi yang terbaik adalah bergantung kepada kontrak," kata Gino memetik laporan GPOne.

"Kami mempunyai pilihan bersama Ducati yang memihak kepada kammi bagi dua tahun seterusnya dan kami amat gembira bersama mereka. Secara praktikalnya segala-galanya sudah ditandatangani, kami boleh menamatkan segala cerita ini.

"Hanya keajaiban yang membuatkan kami berubah."

Mengulas lanjut, Pramac Racing yang dijangka kehilangan pelumba bintangnya, Jorge Martin pada musim depan mengesahkan pasukan itu akan terus dibekalkan dengan dua jentera spesifikasi terkini.

"Kontrak dengan Ducati bagi 2 tahun seterusnya termasuk membekalkan kami dua jentera rasmi, saya boleh katakan tiada cerita lain selain itu," katanya.