PRAMAC Ducati Bukan Pilihan - Marc Marquez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/31/20241 min read

MARC Marquez sekali lagi memberi peringatan kepada Ducati Corse yang dia hanya akan menyertai pasukan berstatus 'kilang' bagi kempen MotoGP musim depan, keputusan yang sekaligus menafikan kelibatnya di Pramac Ducati.

Ducati Corse ketika ini sedang dalam dilema untuk memilih sama ada Marquez, Jorge Martin atay Enea Bastianini untuk diletakkan sebagai rakan sepasukan Francesco Bagnaia di Ducati Lenovo musim depan.

Ketika ini, muncul laporan dari Itali yang menyatakan Martin yang juga pelumba pasukan Pramac Ducati berada di barisan pertama untuk posisi berkenaan.

Tetapi ketika ditanya mengenai situasi berkenaan, Marquez berkata dia belum dimaklumkan sambil mengulangi syarat untuknya beraksi pada musim depan.

"Ketika ini, berita daripada Ducati tidak seperti ini. Mereka tidak memberitahu saya dengan cara ini," kata Marquez memetik laporan MotoGP.com.

"Tetapi apa pun, saya akan memberikan 100 peratus di litar lumba dan cuba untuk memberikan semaksimum mungkin dan dengan cara seperti ini saya akan mendapat lebih banyak peluang untuk 'kerusi' yang berbeza.

"Ayuh lihat sama ada kami boleh meneruskan dengan cara seperti yang kami lakukan dalam beberapa perlumbaan terakhir ini."

Dan diminta mengulas sama ada akan menyertai Pramac Ducati - pasukan yang menggunakan jentera spesifikasi terkini Ducati GP24 - dan menjadi pengganti Martin, juara dunia lapan kali itu berkata ia bukan pilihan.

"Pramac pasukan yang amat bagus seperti yang Martin sudah tunjukkan. Mereka memiliki potensi yang hebat tetapi ia bukan pilihan untuk saya," kata Marquez.

Marquez sejak awal musim lalu berkata dia hanya mahu menyertai pasukan 'Factory' bagi musim depan dan bagi Ducati, ia adalah pasukan yang ketika ini disertai Bagnaia dan Bastianini.

"Sudah tentu, apa yang saya sedang cari, seperti yang saya katakan sejak tiga pusingan sebelum ini, adalah versi terbaharu jentera yang berlumba," kata Marquez.