PRAMAC Ducati MotoGP Tayang 'Liveri' 2024, Lebih Agresif Tapi Dedah Di 'Paddock' F1

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/29/20241 min read

PRAMAC Ducati menjadi pasukan terakhir di MotoGP mendedahkan 'Liveri' baharu pasukan itu dan ia dilakukan sedikit pelik, di 'paddock' Litar Antarabangsa Bahrain menjelang aksi pembukaan Formula 1 minggu ini.

Dan seperti dijangka, pasukan yang dipacu dua pelumba, Jorge Martin dan Franco Morbidelli itu melakukan perubahan agak besar terhadap 'Liveri' pasukan itu.

Paling ketara pastinya penggunaan warna Putih yang sebelum ini cukup dominan dengan pasukan digantikan dengan Hitam selain penggunaan warna Ungu (Prima) dan Merah (Ducati/Pramac).

Pada musim lalu, pasukan satelit Ducati inin namun menggunakan jentera spesfikasi terkini itu mencipta sejarah musim lalu apabila memenangi gelaran keseluruhan kategori pasukan.

Ia dikuatkan menerusi prestasi hebat ditampilkan Martin dan bekas rakan sepasukannya Johann Zarco.

Zarco yang turut meraih kemenangan pada musim lalu meninggalkan pasukan itu untuk menyertai LCR Honda dan kekosongan itu diisi Morbidelli.

Seperti diketahui, Martin pada musim lalu menamatkan kempen MotoGP selaku naib juara dunia kepada Francesco Bagnaia dan menjadi pencabar hebat kepada pelumba pasukan 'Kilang' Ducati itu hingga penghujung musim.

"Ia perbahan yang besar. Saya sudah berada di pasukan ini selama tiga tahun dan sentiasa melihat warna putih. Saya fikir ia lebih baik, lebih agresif. Harapnya kami juga akan menjadi agresif di litar," kata Martin mengulas mengenai perubahan yang dilakukan pasukan itu.

Sementara itu, Morbidelli yang tak dapat menguji jenteranya pada ujian pra-musim di Malaysia dan Qatar berharap musim ini dapat mengubah haluan kariernya.

"Saya menyertai pasukan yang pada tahun lalu bersaing merebut gelaran dunia pelumba hingga pusingan terakhir dan membawa pulang anugerah kategori pasukan," kata pelumba kelahiran Itali itu.

"Jadi mereka ada segala ramuan untuk menjadikan musim ini musim yang diingati. Malangnya bagi saya, 2024 bermula dengan saya kemalangan yang menghalang saya daripada menyertai ujian pra-musim tetapi kini saya sudah pulih dan saya tidak sabar untuk mengenali Ducati Desmosedici GP24 dan meraih banyak keputusan yang penting bersamanya."